KKM, hospital tak kenakan bayaran urus jenazah COVID-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Kos pengurusan jenazah pesakit COVID-19 di Sabah yang didakwa terlalu mahal berpunca daripada bayaran dikenakan oleh syarikat pengurusan jenazah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata syarikat terbabit mengenakan bayaran tertentu apabila waris menggunakan perkhidmatan mereka.

Katanya, Jabatan Kesihatan atau hospital tiada mengenakan bayaran daripada waris bagi pengendalian jenazah COVID-19.

“Caj pengangkutan dikenakan apabila ahli keluarga jenazah memilih menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah bertauliah bagi membawa jenazah dari hospital ke tapak pengebumian.

“Prosedur pengangkutan sehingga pengebumian adalah diselia ketat oleh pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun

Beliau mengulas dakwaan waris jenazah pesakit COVID-19 di Sabah yang ada antaranya terpaksa membayar kos yang tinggi untuk pengurusan jenazah ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata belum ada sebarang laporan mengenai dakwaan itu diterima pihak berkuasa di negeri ini.

“Sepanjang pengetahuan saya, setakat ini tiada sebarang aduan rasmi berhubung perkara ini bagi membolehkan ia disiasat dengan menyeluruh berdasarkan fakta dan bukan melalui andaian.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjelaskan bahawa tiada bayaran dikenakan bagi pengendalian jenazah kes COVID-19 melainkan ahli keluarga sendiri yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah.

“Ia sudah tentu membabitkan kos yang dipersetujui di antara ahli keluarga dengan syarikat pengurusan jenazah,” katanya.

Namun, katanya, mana-mana pihak tidak sepatutnya mengambil kesempatan untuk memperoleh keuntungan keterlaluan daripada ahli keluarga yang sedang berdukacita atas kehilangan orang tersayang.

Semalam, tiga kematian membabitkan pesakit COVID-19 dilaporkan di Sabah, masing-masing dua di Kota Kinabalu dan satu di Lahad Datu.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373