Komitmen Hannah perkasa KBS

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh antara menteri yang dilihat kerap turun padang tidak kira untuk merasmikan acara, lawatan ke fasiliti sukan atau atlet.

Kelibat beliau yang berada ‘di mana-mana’ membuktikan komitmennya sejak mengangkat sumpah jawatan pada 3 Disember tahun lalu.

Menjelaskan mengenai perkara itu sebelum ini, Hannah berkata, beliau gemar turun padang kerana dapat memahami keadaan sebenar dengan lebih baik, selain turut berusaha meluangkan masa untuk melawat sukan kurang popular.

Usaha Hannah itu diterjemahkan dengan pelbagai perubahan yang dibawanya dalam KBS mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pemegang taruh.

Dalam tempoh hampir setahun menerajui KBS, sebanyak 22 perubahan sudah dilaksanakan Hannah dalam usaha memacu arena sukan dan belia negara.

Perubahan itu merangkumi empat aspek utama, termasuk memperkukuhkan ekosistem sukan, merakyatkan sukan, memperkasakan belia dan merakyatkan fasiliti KBS.
Terdapat 12 usaha yang dilakukan KBS bagi memperkukuhkan ekosistem sukan antaranya, menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Pembangunan Sukan (HLC), membentuk Jawatankuasa Pertikaian Sukan dan Jawatankuasa Road to Gold.

Kerjasama tiga kementerian HLC dibentuk pada Jun 2023 dengan mesyuarat julung kali dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membincangkan isu berkaitan sukan tempur, renang dan olahraga serta keperluan untuk mengamalkan pendekatan menyeluruh pembangunan sukan membabitkan kerjasama antara KBS, Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KBS turut membantu konservasi Harimau Malaya menerusi kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha untuk memulihara Harimau Malaya.

Bagi setiap tiket yang dijual untuk perlawanan membabitkan Harimau Malaya, RM1 akan disumbangkan sebagai usaha pemuliharaan Harimau Malaya.

Sementara itu, aspek merakyatkan sukan pula merangkumi empat perkara termasuk mewujudkan direktori fasiliti sukan, menjalankan kemahiran latihan asas sukan (KLAS) renang, menyediakan program skrin besar dan memperluaskan jualan sukan rahmah.

KBS memperkasakan belia menerusi dua usaha yang dilakukan dengan memberi nafas baharu Rakan Muda dan melancarkan Sekolah Rukun Negara.

Menerusi usaha ini KBS pada Jun lalu melancarkan fasa baharu Rakan Muda yang menampilkan 10 gaya hidup yang direka untuk menarik minat belia masa kini, manakala program Sekolah Rukun Negara bertujuan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia.

Dalam pada itu, proses merakyatkan fasiliti KBS dilakukan dengan membuka fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia, melancarkan Inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti, menyediakan penginapan youth capsule dan menawarkan perkhemahan keluarga.

22 Perubahan KBS

Memperkukuhkan Ekosistem Sukan

1. Menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Pembangunan Sukan (HLC)

2. Memudah cara penganjuran acara sukan

3. Peningkatan daripada 51 ke 103 jenis sukan

4. Mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah

5. Membantu konservasi Harimau Malaya

6. Melancarkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG)

7. Memaparkan peruntukan yang diluluskan

8. Membentuk Jawatankuasa Pertikaian Sukan

9. Membentuk Jawatankuasa Road to Gold

10. Mengadakan KBS Open Day

11. Membangunkan Kod Sukan Selamat

12. Mewajibkan kehadiran pegawai pengiring bagi mengiringi atlet para negara

Merakyatkan Sukan

1. Mewujudkan Direktori Fasiliti Sukan

2. Menjalankan Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang

3. Menyediakan Program Skrin Besar

4. Memperluaskan Jualan Sukan Rahmah

Memperkasakan Belia

1. Memberi nafas baharu Rakan Muda

2. Melancarkan Sekolah Rukun Negara

Merakyatkan Fasiliti KBS

1. Membuka Fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia

2. Melancarkan Inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti

3. Menyediakan Penginapan Youth Capsule

4. Menawarkan Perkhemahan Keluarga
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373