Kontinjen UNIVERSIADE buru emas sulung di Chengdu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara ke Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) di Chengdu, China menerima suntikan semangat apabila bakal meraih insentif tambahan sekiranya dapat menamatkan kemarau penantian pingat emas sulung negara pada edisi ke-31 yang dijadual membuka tirainya, 28 Julai ini.

Berdasarkan rekod, kontinjen universiti negara belum berupaya meraih emas sejak mula menyertai temasya di Kobe, Jepun pada 1985 dan kali ini, kontinjen di peringkat awal disasarkan untuk membawa pulang tiga pingat tanpa mengira warna.

Sasaran itu dilihat mampu ‘diubah’ kepada kilauan emas seandainya mengambilkira pencapaian negara pada edisi sebelum ini di Napoli 2019 selain beberapa jenis sukan yang dilihat mampu menyumbangkan pingat kepada kontinjen.

“Sudah pasti atlet kita akan berusaha sebaik mungkin kerana apa yang kita sasarkan adalah tiga pingat tanpa sebarang warna. Kita juga meletakkan harapan, daripada sasaran tiga pingat itu mampu bertukar kepada pingat emas sulung yang akan dibawa pulang ke Malaysia.

“Kalau berdasarkan rekod lalu, kita berjaya membawa pulang gangsa dalam acara taekwondo pada edisi di Itali dan saya yakin mereka mampu melakukan lebih baik di Chengdu. Selain itu, kita juga menjangkakan atlet renang berpotensi meraih pingat buat negara.

“Seluruh pasukan pada ketika ini, bekerja keras menjalani latihan sama ada dalam ataupun di luar negara dengan menyertai pertandingan. Saya yakin dengan prestasi semasa atlet, Insha-Allah kita mampu berjaya membawa pulang pingat emas pertama bagi Malaysia,” kata Timbalan Kontinjen Malaysia, Azirin Abdul Aziz kepada media selepas majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke UNIVERSIADE 2021, semalam.

Kontinjen negara yang disertai 66 atlet dan 30 pegawai dijadual menyertai lapan jenis sukan di Chengdu iaitu terjun, badminton, taekwondo, wushu, olahraga, memanah, renang dan menembak.

Untuk rekod, pencapaian terbaik negara adalah di Taiwan 2017 yang menyaksikan kontinjen negara meraih tiga perak dan tiga gangsa, masing-masing dalam sukan badminton, taekwondo dan wushu.

Pingat perak ketika itu diraih dalam acara beregu campuran badminton disertai Nur Mohd Azriyn Ayub-Goh Yea Ching, Calvin Lee dan Tan Cheong Min (wushu). Gangsa pula dihadiahkan dalam acara berpasukan campuran badminton, Loh Choon How (wushu) dan taekwondo berpasukan kyorugi.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373