KPDN bincang dengan pengeluar stabilkan harga susu formula

Estimate Reading Time: 2 minutes

TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan perbincangan dengan beberapa pengeluar susu formula bayi bagi menyelesaikan isu kenaikan harga bahan itu yang didakwa meningkat sejak akhir-akhir ini.

Timbalan menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya sedang menunggu senarai harga dari pembekal serta pengeluar barangan itu bagi menyelesaikan isu berkenaan dalam masa terdekat.

“Kita sedang menunggu harga dari pengeluar dan dijangka diperoleh dalam masa terdekat sebab libat urus itu berterusan dan maklum balas yang diterima juga amat positif.

“Kita pun akan letak susu tepung (formula) dengan harga rakyatlah di pasar raya, bukan yang mahal-mahal, harga rahmah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

KPDN sebelum ini meminta pembekal susu formula untuk menyediakan laporan pergerakan harga produk berkenaan bagi tempoh enam bulan untuk membolehkan kementerian mengambil tindakan lanjut.

Harga susu formula didakwa mengalami kenaikan mendadak antara RM10 hingga RM30 dan tular di media sosial sebelum ini.

Terdahulu Fuziah yang diiringi Pengarah KPDN negeri Kelantan, Azman Ismail, hadir dalam Karnival Jualan Rahmah Bergerak di Laman Warisan, Kampung Laut di sini.

Fuziah berkata, kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM30 juta untuk program Jualan Rahmah bermula pertengahan April sehingga Jun tahun ini yang membawa manfaat kepada 1.1 juta pengunjung di seluruh negara.

“Setakat Jun lalu, sebanyak RM30 juta dari RM100 juta Belanjawan 2023 yang diluluskan sudah digunakan untuk manfaat kepada rakyat yang memerlukan menerusi program Jualan Rahmah yang dijalankan menerusi tiga kaedah iaitu dalam premis, luar premis serta secara bergerak.

“Menerusi Jualan Rahmah Bergerak pula, ia adalah cara bagi memastikan subsidi yang diterima adalah bersasar kerana jika diletakkan di mana-mana premis, ada pembeli yang berdepan kesukaran untuk keluar membeli.

“Selepas ini kita akan maklumkan dalam laman web KPDN setiap pergerakan dan jadual jelajah Jualan Rahmah Bergerak di seluruh negara yang akan difokuskan ke kawasan yang memerlukan,” katanya.

Pelbagai barang keperluan dijual pada harga murah sempena jelajah itu seperti sebotol minyak masak 5kilogram yang dijual pada harga RM24, telur gred A RM13 sepapan dan ayam diproses RM6.80 sekilogram.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373