KPKM akan bincang cadangan wujudkan gred tunggal beras putih

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEPALA BATAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian utama berhubung cadangan Gabungan Pengilang Beras Malaysia yang meminta kerajaan mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih.

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya menerima setiap cadangan yang dikemukakan dan akan membuat keputusan selepas berbincang mengenainya untuk tindakan lanjut.

Katanya, perbincangan akan membabitkan sekurang-kurangnya empat kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“…kita berusaha untuk menyelesaikan masalah beras yang sedang berjaya kita tangani dan akan pulih sepenuhnya, sama seperti isu ayam serta telur ayam,” katanya mengulas cadangan Gabungan Pengilang Beras Malaysia meminta kerajaan mewujudkan hanya satu gred tunggal beras putih dan tidak perlu lagi melabelkannya dengan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Besar Putih Import (BPI) seperti kelaziman.

Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) ditemui pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Kepala Batas di Dewan Bakau Tua, Penaga, malam tadi.

Sementara itu, Mohamad berkata KPKM bersiap sedia menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dibimbangi menyebabkan banyak tanaman terjejas.

“Pada masa ini, belum ada lagi (sawah ditenggelami banjir) memandangkan (Monsun Timur Laut) masih di peringkat permulaan.

“Semua jawatankuasa khas di bawah Timbalan Perdana Menteri telah dipanggil mesyuarat ke arah persediaan untuk menghadapi kemungkinan banjir dan di bawah kementerian yang bertanggungjawab berkenaan (hal ehwal banjir) sedang bersiap sedia,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373