KPM berhasrat wujudkan Program Pendidikan Khas Integrasi di semua sekolah

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat mewujudkan Program Pendidikan Khas Intergasi (PPKI) di semua sekolah bagi memastikan tiada kanak-kanak kelainan upaya (OKU) tercicir daripada mendapat pendidikan sewajarnya.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, berkata pihaknya sedang berusaha memperbanyakkan lagi PPKI di semua sekolah, namun cabarannya adalah kekurangan golongan pendidik.

“Bagi mengadakan PPKI di sesebuah sekolah, selain golongan pendidik, kita juga harus mempunyai kemudahan yang bersesuaian seperti tandas, ram dan kemudahan yang lain untuk murid keperluan khas ini,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Lim berkata, data KPM menunjukkan sebanyak 76 sekolah di negeri ini melaksanakan PPKI dan program pendidikan inklusif (PPI).

Beliau berkata, akses kepada pendidikan adalah hak untuk semua rakyat tidak mengira kaum, agama dan keupayaan.

“Saya berharap kita dapat adakan lebih banyak kelas sebegitu (PPKI) mengikut daerah kerana semua tempat ada kanak-kanak khas dan mereka perlukan perhatian yang lebih,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan KPM adalah kepada penambahbaikan ketercapaian dan mobiliti terutama menyediakan sekurang-kurangnya empat kemudahan asas yang merangkumi susur landai, susur tangan, parkir dan tandas mesra OKU, selain menaik taraf kelas pendidikan khas dan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas.

“KPM turut meningkatkan bilangan projek pembangunan yang dimohon melalui Unit Perancang Ekonomi (UPE) bagi membina bangunan tambahan yang merangkumi bilik darjah dan kemudahan lain untuk Program Pendidikan Khas Integrasi,” katanya.

Beliau berkata, KPM juga sudah melaksanakan pemantapan sumber manusia dengan memfokuskan kepada peningkatan profesionalisme secara berterusan bagi guru dan pembantu pengurusan murid.

Terdahulu, Lim yang juga setiausaha DAP Pulau Pinang, bersama ADUN Sungai Puyu Phee Syn Tze, ADUN Pengkalan Kota Wong Yue Harng, ADUN Pulau Tikus Woo Sze Zeng dan ADUN Seri Delima Tan Hooi Peng mengedarkan kuih bulan di Pejabat Bernama Pulau Pinang sempena perayaan kuih bulan pada 29 September ini.

– BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373