KRI Nanggala pernah dinaik taraf di Jerman, Korea Selatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PARIS: Kapal selam Indonesia yang dilaporkan hilang semalam adalah model buatan Jerman yang pernah berjasa kepada berbelas tentera laut di seluruh dunia.

KRI Nanggala 402 seberat 1,300 tan jenis 209 diesel-elektrik adalah kapal selam penyerang yang dibina pada 1978 dan diserahkan kepada Indonesia pada Oktober 1981.

Menurut pihak berkuasa, KRI Nanggala yang menjalani beberapa naik taraf menyertai latihan tentera laut di pesisir pantai Bali ketika ia meminta kebenaran untuk menyelam dan kemudiannya terputus hubungan.

Kapal selam itu membawa 53 kru dan dipercayai berada dalam kedalaman 700 meter apabila terputus hubungan.

Indonesia meminta bantuan Singapura dan Australia yang memiliki kapal penyelamat kapal selam untuk membantu mengesan KRI Nanggala 402.

KRI Nanggala pernah dibaik pulih pada tahun 1989 di Jerman dan kemudian pada 2012 di Korea Selatan, dengan strukturnya diganti serta dinaiktaraf ke atas sistem penggerak, sonar dan senjata.

Tentera Laut Indonesia turut memiliki kapal selam lain dengan model sama iaitu KRI Cakra bersama tiga model lain jenis 209.

Pada tahun 1993, Indonesia memperoleh 39 kapal selam terpakai daripada bekas tentera laut Jerman Timur.

Dibina pada tahun 1960-an untuk menggantikan kapal era Perang Dunia Kedua, jenis 209 tidak pernah digunakan Jerman tetapi berjaya mengeksport sebanyak 61 buah ke berbelas negara termasuk Greece, India dan Turki.

Argentina pernah mengerahkan kapal selam jenis 209 ketika Perang Falklands menentang Britain.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373