Kumpul lebih satu tan al-Quran rosak akibat banjir

Estimate Reading Time: < 1 minute

TEMERLOH: Persatuan Sukarelawan Kebajikan Daerah Temerloh (PSKD Temerloh) mengumpul lebih satu tan al-Quran yang rosak dalam kejadian banjir di daerah ini.

Operasi pengumpulan al-Quran yang rosak dan terjejas akibat kejadian banjir lebih seminggu lalu itu membabitkan kira-kira 30 kediaman penduduk.

Setiausaha PSKD Temerloh, Zarina Moidin, berkata aktiviti itu dilakukan bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran dan dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Selain mengambil dari rumah ke rumah, katanya, ada juga dalam kalangan penduduk taman perumahan yang terjejas datang menyerahkan sendiri kitab suci itu kepada pihaknya untuk dilupuskan.

“Dalam tempoh tiga hari operasi, kita berjaya mengumpul lebih satu tan al-Quran yang basah serta berlumpur terutama selepas terendam dalam banjir bagi tempoh masa lama.

“Semua al-Quran yang dikumpul diserahkan kepada JAIP untuk tujuan dilupuskan mengikut tatacara pelupusan serta mengikut hukum syarak ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Seramai 10 ahli PSKD Temerloh terbabit dalam aktiviti mengumpul al-Quran rosak, dan rata-rata penduduk yang ditemui memuji usaha yang dilakukan itu.

Tinjauan di beberapa daerah di negeri ini mendapati, paling banyak al-Quran mengalami kerosakan di masjid dan surau yang ditenggelami banjir.

Usaha mengumpul al-Quran turut dilakukan oleh kakitangan JAIP di beberapa daerah di negeri ini.

Zarina berkata, pihaknya melakukan aktiviti itu setiap kali banjir besar berlaku di daerah berkenaan, bertujuan mengelak orang ramai bertindak membuang al-Quran di tempat tidak sesuai hingga mencemarkan kesuciannya seterusnya menjejaskan imej Islam.

“Kita akan teruskan aktiviti mengumpul al-Quran rosak untuk fasa kedua selepas ini selepas mendapat permintaan banyak pihak

“Malah, terdapat mangsa banjir yang berada di luar daerah ini meminta kami mengambil al-Quran yang rosak, dan kita sudah meminta mereka mengumpulkannya di satu tempat,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373