Kumpulan lelaki lebur tembaga tanpa lesen tumpas

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kluang: Sekumpulan lelaki yang menjalankan kegiatan melebur tembaga tanpa lesen ditahan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) berdekatan Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam di sini, pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Dimin Awang berkata, dalam serbuan pada 4.30 pagi itu, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan dan lima warga asing iaitu empat dari China dan seorang Bangladesh berusia 24 hingga 66 tahun.

Menurutnya, pihaknya merampas enam guni warna putih berisi kepingan tembaga campuran, 24 palet berisi kepingan tembaga campuran, 41 guni berisi tembaga campuran, 13 jongkong tembaga dengan anggaran berat setiap satunya 450 kilogram.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sebanyak 67 guni warna putih berisi arang batu, dua buah forklift, tiga generator, tiga mesin relau, enam mesin penyedut angin, dua mesin penyedut air, sebuah mesin kimpal dan sebuah mesin penimbang.

“Siasatan awal mendapati mereka ini sudah menjalankan kegiatannya sejak setahun lalu di kawasan kebun kelapa sawit di kawasan itu.

“Susulan serbuan ini, kami percaya dapat melumpuhkan kegiatan mereka di Simpang Renggam dan Pontian membabitkan nilai rampasan sebanyak lebih RM3.5 juta,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan seIanjutnya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 6 Akta Barang Lusuh (ABL) dan Sek 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Saya juga menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373