Kumpulan pendidikan sambut baik keputusan buka semula sekolah

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pakar pendidikan menyambut baik keputusan kerajaan membuka semula semua sekolah berdasarkan kalendar akademik 2021 kerana sebarang penangguhan akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan semua sekolah, termasuk sekolah swasta dan antarabangsa, akan dibuka semula mengikut kalendar akademik 2021.

Tahun persekolahan 2021 di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan bermula 20 Jan hingga 9 Dis untuk negeri di Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) serta dari 20 Jan hingga 10 Dis bagi negeri di Kumpulan B (semua negeri lain dan wilayah).

Sekolah swasta dan antarabangsa akan mengikut kalendar akademik masing-masing.

KPM berkata, pembukaan semula sekolah akan melibatkan semua institusi pendidikan di seluruh negara, termasuk kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Harry Tan Huat Hock.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock menggesa rakyat yakin dengan keputusan KPM.

“Kami sokong seruan KPM. Biar mereka buat keputusan dan perancangan berdasarkan data, statistik dan maklumat yang ada dengan mereka.

“Sebagai rakyat, kita perlu mematuhi arahan pihak berkuasa untuk memastikan kita selamat dan pada masa sama, tidak mengganggu kehidupan seharian kita.

“Sebagai guru, kami berpegang teguh kepada peranan teras kita, iaitu memberikan pendidikan holistik terbaik kepada pelajar dalam persekitaran selamat,” katanya kepada FMT.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata, walaupun tidak dapat dinafikan KPM menerima lampu hijau Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum membuat pengumuman itu, KPM perlu memastikan sekolah lebih tegas dalam melaksanakan SOP.

Tunku Munawirah Putra.

“Situasi semakin teruk, oleh itu kita memerlukan penguatkuasaan lebih spesifik dan tegas dengan SOP lebih ketat,” kata Setiausaha Kehormat PAGE, Tunku Munawirah Putra kepada FMT.

Katanya, langkah pencegahan perlu dibuat pada setiap tahap, “bermula dari persekitaran di rumah, dalam perjalanan ke sekolah dan ketika sesi persekolahan”.

Beliau mencadangkan KPM membuka semula sekolah berdasarkan giliran.

Untuk mengelakkan kesesakan, tetapi masih memberi peluang sama rata kepada semua pelajar berada di sekolah, katanya, sekolah perlu membahagikan pelajar kepada dua kumpulan – Kumpulan A terdiri daripada pelajar tahun bukan peperiksaan dan Kumpulan B merangkumi pelajar tahun peperiksaan, seperti SPM dan STPM.

Mak Chee Kin.

“Kumpulan A akan bersekolah pada Isnin hingga Rabu, sementara Kumpulan B akan ke sekolah pada Khamis hingga Sabtu.

“Hari persekolahan mereka perlu dikurangkan kepada tiga hari seminggu untuk kelas fizikal, sementara hari cuti dilengkapi pembelajaran campuran, kelas dalam talian dan buku kerja.”

Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) bersetuju dengan Tunku Munawirah dengan mencadangkan sekolah mengadakan pembelajaran hibrid.

“Mereka yang tidak mempunyai kemudahan dalam talian dan sambungan internet boleh kembali ke sekolah, manakala mereka yang ada, boleh memilih kekal di rumah,” kata Pengerusinya, Mak Chee Kin.

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373