Kuota, pengalaman, kecekapan, kriteria penentuan Kabinet

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 29 Nov 2022 (The Capital Post): Kuota berdasarkan jumlah kerusi parti, pengalaman serta kecekapan calon adalah antara kriteria yang dijangka diambil kira Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentukan Kabinet pimpinannya.

Dengan pelbagai isu rakyat terutama kos sara hidup dan ekonomi yang memerlukan perhatian segera, Kabinet yang dikatakan Perdana Menteri lebih kecil berbanding sebelumnya, dijangka diumumkan pada minggu ini juga.

Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Dr Nasrudin Mohammed, berpandangan pembentukan Kabinet juga akan ditentukan berdasarkan pertimbangan tuntutan daripada parti komponen Kerajaan Perpaduan, desakan pelobi serta semangat muhibah antara Anwar dan pihak lain.

“Ada beberapa isu semasa yang dibangkitkan secara berterusan oleh pelbagai pihak dan sumber, yang semuanya perlu diambil kira Perdana Menteri.

“Mungkin akhir minggu ini, beliau dapat memuktamadkan Kabinetnya,” katanya kepada BH.

Semalam, Anwar memaklumkan, pembentukan Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan akan dimuktamadkan dalam kadar segera selepas beliau mendengar pandangan semua pihak, termasuk parti yang membentuk kerajaan itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga sebelum ini memberi jaminan, tidak akan melantik anggota Kabinet melebihi keperluan, semata-mata sebagai ganjaran kepada pemimpin dan parti politik kerana memberi sokongan kepadanya.

Ditanya sama ada pemimpin yang berdepan kes mahkamah wajar diberikan peluang menyertai Kabinet, Nasrudin berkata, biar perkara itu dipertimbangkan Anwar kerana beliau yang akan mengesyorkan nama anggota Kabinet untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut berpandangan, hierarki dalam parti politik tidak semestinya menjadi faktor untuk memutuskan jawatan Kabinet kerana pertimbangan lain juga diambil kira, antaranya kebolehan calon, kesesuaian menurut kepemimpinan parti dan hikmah pencalonan berdasarkan kemaslahatan parti serta umum.

“Dengan kata lain, hierarki seseorang dalam parti hanya bersifat kelayakan umum saja, bukannya keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata kuota berdasarkan jumlah kerusi Parlimen dan cadangan daripada parti masih akan menjadi keutamaan, namun jumlahnya akan dihadkan berikutan saiz Kabinet yang dijangka kecil.

Kombinasi Kabinet itu juga perlu membabitkan ketokohan, kewibawaan dan pengalaman calon supaya reputasi Kabinet tidak tercalar, selain turut menampilkan golongan muda dan kuota 30 peratus wanita.

Justeru, katanya, semua pemimpin parti komponen perlu mengutamakan kewarasan politik bagi memastikan Kabinet yang dibentuk kelak boleh berkhidmat di bawah agenda besar Anwar.

“Datuk Seri Anwar sudah menyatakan mengenai prinsipnya bahawa lantikan Kabinet bukan ganjaran, jadi masing-masing perlu menampakkan perwatakan di peringkat nasional untuk mengetepikan kepentingan parti.

“Ahli politik tidak boleh lagi berpegang kepada soal politik. Jika soal politik diperbesarkan, maka kebimbangan akan berterusan, melihat kepada Kabinet yang mahukan jawatan dan kedudukan parti masing-masing walaupun hanya memiliki kerusi yang sedikit,” katanya.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373