Lantik segera Ketua Audit Negara, elak pilih bekas KSU

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan segera mengisi jawatan Ketua Audit Negara yang dikosongkan sejak empat bulan lalu, dengan melantik individu berlatar belakang dalam perakaunan dan pengauditan.

Bagaimanapun, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berharap kerajaan menghentikan amalan pelantikan bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian bagi mengisi jawatan berkenaan.

Katanya, saranan itu berikutan pelantikan Ketua Audit Negara dalam kalangan individu yang mempunyai latar belakang perakaunan dan pengauditan akan memberi nilai tambah pada Jabatan Audit Negara.

“Kerajaan perlu melantik Ketua Audit Negara yang mempunyai latar belakang perakaunan dan pengauditan bagi memberi nilai tambah pada Jabatan Audit Negara dalam melaksanakan pengauditan secara profesional.

“Lantikan bekas KSU kementerian sebagai Ketua Audit Negara perlu dielak walaupun justifikasi pelantikan disebabkan mereka tahu mengenai selok-belok pentadbiran awam.

“Bagaimanapun, lebih baik Ketua Audit Negara mempunyai latar belakang profesional dalam bidang kewangan atau pengauditan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Mengenai kekosongan jawatan Ketua Audit Negara selepas Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid tamat kontrak pada Februari lalu, Mas Ermieyati berkata, situasi itu menyebabkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tidak dapat dibentang.

Jelasnya, ia berikutan hanya Ketua Audit Negara boleh mengemukakan LKAN kepada Yang di-Pertuan Agong, yang akan memperkenankan laporan berkenaan untuk dibentang di Dewan Rakyat, selaras Perkara 107(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Antara LKAN yang tidak dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini ialah LKAN Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2022 dan LKAN Penyata Agensi Persekutuan 2021.

“Ia dijangka dibawa ke Mesyuarat Ketiga pada Oktober depan. Perkara ini akan turut membebankan Jabatan Audit Negara dan PAC kerana banyak laporan yang perlu diteliti dan disiasat,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373