Larang atau tidak, industri penginapan jangka pendek berdepan bahaya di P Pinang

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGE TOWN: Pemain industri pelancongan dan pemegang taruh lain di Pulau Pinang keluh-kesah berhubung cadangan baru-baru ini yang bakal membenarkan kondominium melarang sewaan jangka pendek dan rumah inap yang ditawarkan di bawah platform AirBnb.

Langkah itu dijangka mengehadkan kehadiran syarikat itu di negeri berkenaan, sekali gus memberi kesan ke atas bilangan pelancong yang akan masuk ke Pulau Pinang dalam persekitaran pasca pandemik.

Awal minggu ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang diberitahu bahawa garis panduan bagi membolehkan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri dan kondominium diwujudkan untuk menguatkuasakan larangan terhadap rumah inap berdasarkan denda yang ditetapkan dalam peraturan JMB.

Uzaidi Udanis, presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) memberitahu FMT bahawa mencari jalan bagi mengurus impak AirBnb adalah isu “yang perlu dihadapi oleh semua kerajaan”.

“Peraturan yang ketat adalah langkah yang lebih baik daripada terus mengharamkan platform itu.

“Tempat menginap jangka pendek merupakan ancaman terhadap perniagaan hotel dan juga kepada masyarakat setempat kerana unit ini menarik orang asing dan remaja yang mungkin membuat bising dan menimbulkan gangguan.”

Namun beliau mengakui bahawa AirBnB juga baik untuk pemain industry pelancongan kerana ia membantu membawa pelanggan baru, seperti k keluarga besar yang mungkin akan memilih sebuah rumah berbanding bilik hotel.

Uzaidi menambah mewujudkan peraturan bagi memastikan wujudnya persaingan adil dengan hotel adalah pendekatan terbaik kerana dalam situasi semasa, menamatkan alternatif sewa jangka pendek itu boleh menghalang kemajuan industri pelancongan yang kini tertekan.

Tan Hun Beng, pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang, menolak kebimbangan bahawa pengharaman boleh menyebabkan harga hartanah jatuh.

“Itu sama sekali tak akan mempengaruhi harga hartanah. Individu yang berhasrat membeli hartanah untuk pelaburan masih boleh mencari hartanah komersial seperti pangsapuri yang diselenggara atau suite perniagaan dan mengubahnya menjadi AirBnb”.

Beliau berkata “sudah tiba masanya” pihak berkuasa campur tangan kerana menurutnya, adalah “tidak wajar hartanah kediaman digunakan untuk tujuan komersial”.

“Rancangan asal (untuk hartanah kediaman) adalah untuk orang tinggal, bukan untuk orang berniaga. Itulah sebabnya mengapa banyak aduan diterima.”

Namun, pengendali sebuah tarikan pelancongan di Pulau Pinang yang tidak mahu dinamakan, membantah langkah itu, dengan berkata. negeri itu akan “rugi besar” sekiranya larangan itu dilaksanakan.

“Ini akan merugikan semua orang, bukan hanya orang seperti saya dan pemain industry pelancongan lain. Ini akan merugikan kompleks beli-belah, restoran, pemaju hartanah, seluruh ekonomi.”

Beliau percaya hampir separuh daripada pelawat ke Pulau Pinang tinggal di premis AirBnbs, dan mereka akan memilih untuk berbelanja di tempat lain sekiranya tidak ada pilihan lain.

“Orang ramai mahu berjalan ke lebih banyak tempat. Untuk itu, anda perlu menawarkan tempat penginapan yang berpatutan. Menyanggah trend adalah berbahaya,” katanya. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373