Lazada Malaysia lancar Laz Halal

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia melancarkan Laz Halal sebagai saluran untuk rakyat Malaysia membeli produk yang seratus peratus sah diperakui halal secara dalam talian melalui platform e-dagang itu.

Saluran itu membolehkan pelanggan mendapatkan beraneka produk halal keluaran tempatan dan juga jenama antarabangsa yang telah disahkan mempunyai pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Ketua Pegawai Pelanggan Lazada Malaysia, Syarif Lee, berkata Laz Halal juga bagi menyokong usahawan tempatan yang berhasrat memasarkan produk yang diperakui halal kepada pelanggan yang mengutamakan kesahihan halal ketika membeli barangan keperluan.

“Laz Halal akan diperkembangkan menjadi wadah dalam talian yang membolehkan peniaga memenuhi permintaan lebih ramai pelanggan yang kini semakin kerap membeli-belah dalam talian untuk produk dalam kategori barangan harian.

“Ia termasuk keperluan dapur dan barangan makanan dan minuman, serta produk penjagaan kesihatan, fesyen, kecantikan dan pelbagai barangan halal yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Laz Halal memberikan jaminan kepada pelanggan serta keyakinan apabila membeli produk berkualiti yang sah diperakui halal pada harga berbaloi, secara terus dari para penjual dan kedai rasmi yang menawarkan beraneka produk halal.

“Kami berharap saluran khusus ini dapat memungkinkan perniagaan kecil dan besar untuk menjana lebih banyak jualan dan menggalakkan daya interaksi dengan pelanggan.

“Memandangkan Aidiladha bakal berkunjung tiba, kami berbesar hati kerana dapat memudahkan pembelian dan berkongsi keceriaan sambutan itu.

“Malahan, selepas Hari Raya Haji, Laz Halal akan terus menawarkan pelbagai produk yang diperakui Halal untuk pelanggan,” katanya.

Menurutnya, ikon dan sepanduk Laz Halal dipaparkan di halaman utama Lazada Malaysia bagi memudahkan pelanggan untuk terus mengakses, lmeayari serta membeli barangan yang diperakui halal.

“Pelanggan juga dapat menikmati tawaran eksklusif dan diskaun sepanjang Jualan Pertengahan Tahun Lazada 7.7, antaranya penghantaran percuma, penjimatan tambahan sehingga 20% menerusi LazCoins dan potongan RM10 bagi setiap pembelian bernilai RM100 dengan Lazada Bonus,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, dilaporkan berkata JAKIM memahami keperluan dan permintaan di kalangan populasi tempatan dan global untuk mendapatkan barangan yang diperakui halal termasuk melalui platform e-dagang.

“Peranan kami ialah untuk memastikan bahawa integriti logo Halal dan pensijilan halal yang diperakui oleh JAKIM dan badan-badan berkuasa halal luar negara yang dikenalpasti oleh JAKIM terus terpelihara, serta ditangani dan ditadbir urus dengan berhemah.

“Pendekatan proaktif oleh pihak Lazada dengan mewujudkan saluran halal dalam talian yang menawarkan produk yang sah diperakui halal adalah satu langkah yang memberangsangkan.

“Ianya dapat memanfaatkan komuniti Muslim, di samping memperkukuhkan usaha strategik pihak JAKIM dalam pembangunan halal secara bersepadu,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373