Lebih 100 guru di Terengganu enggan divaksin

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Lebih 100 guru di negeri ini menolak untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata jumlah itu mewakili peratusan yang kecil daripada keseluruhan guru di Terengganu.

“Isu ini memang ada. Tempat lain pun ada. Cuma seruan saya kepada mereka ini dapat mempertimbang semula keputusan mereka, demi kemaslahan dan kebaikan semua pihak.

“Saya difahamkan jumlah itu tidak statik kerana ada guru menerima vaksin selepas dipujuk dan selebihnya mereka yang ‘hardcore’ atau tegar.

“Bagi penjawat awam negeri pula, setakat ini kita tidak ada terima laporan lagi. Kita tidak tahu punca mereka (menolak) sama ada sebab penyakit atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang mungkin dikenakan terhadap guru yang enggan menerima vaksin tanpa alasan kukuh, Ahmad Samsuri berkata, tiada peraturan atau undang-undang yang membolehkan tindakan dikenakan ke atas mereka.

“Pendekatan ketika ini adalah peringkat memujuk bagi memastikan guru-guru yang berkenaan bersetuju menerima suntikan vaksin,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, ujian saringan COVID-19 secara berkala selepas pembelajaran bersemuka bermula antara pilihan lain jika golongan berkenaan masih enggan divaksin.

“Itu mungkin salah satu cara. Kalau mereka sanggup hendak ‘hadap’ ujian dua minggu sekali, itu terpulanglah,” katanya. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373