Lebihan dagangan Malaysia meningkat kepada RM22.12 bln pada Okt 2020 — MITI

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Lebihan dagangan Malaysia pada Oktober 2020 meningkat kepada RM22.12 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 25.9 peratus tahun ke tahun dan merupakan lebihan dagangan yang tertinggi pernah direkodkan bagi bulan berkenaan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata eksport mencecah RM91.05 bilion pada Oktober 2020, naik 0.2 peratus berbanding Oktober 2019 dan ia adalah nilai eksport ketiga tertinggi direkodkan setakat ini.

“Peningkatan ini telah disokong oleh kenaikan eksport ke Amerika Syarikat (AS), China, India dan United Kingdom,” katanya dalam satu kenyataan.

MITI menambah import berjumlah RM68.93 bilion, berkurangan enam peratus manakala jumlah perdagangan bernilai RM159.98 bilion, menyusut 2.5 peratus.

Berbanding September 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 2.6 peratus, 2.4 peratus dan 2.9 peratus sementara lebihan dagangan meningkat sebanyak 0.8 peratus.

MITI menjelaskan barangan perkilangan dan keluaran pertanian menyumbang kepada pertumbuhan eksport pada Oktober, 2020.

“Eksport barangan perkilangan pada Oktober 2020 yang merangkumi 87.8 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 2.5 peratus tahun ke tahun kepada RM79.94 bilion, disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport keluaran getah serta barangan elektrikal dan elektronik (E&E),” katanya.

Sementara itu, eksport keluaran pertanian melonjak 28.7 peratus kepada RM7.17 bilion berbanding Oktober 2019 disokong terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Selain itu, perdagangan dengan ASEAN pada Oktober 2020 yang merangkumi RM41.15 bilion atau 25.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, menyusut 10.4 peratus berbanding Oktober 2019.

” Eksport menyusut 3.6 peratus kepada RM25.73 bilion disebabkan oleh penurunan eksport petroleum mentah, keluaran petroleum dan barangan perkilangan logam.

“Pengurangan ini bagaimanapun telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan E&E yang berkembang sebanyak 18.5 peratus atau RM1.77 bilion,” katanya.

Eksport ke China pula berkembang 4.9 peratus kepada RM14.27 bilion berikutan terutamanya oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan besi dan keluli, barangan perkilangan lain (SSD), barangan perkilangan logam serta keluaran getah.

Sementara itu, eksport AS telah merekodkan pertumbuhan dua digit selama lima bulan berturut-turut, berkembang sebanyak 25.6 peratus kepada RM11.23 bilion pada Oktober 2020.

Ia menambah eksport ke Kesatuan Eropah terus mencatatkan kenaikan bagi dua bulan berturut-turut, mengukuh 4.7 peratus kepada RM7.77 bilion disokong oleh kenaikan eksport keluaran getah serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport barangan perkilangan ke Jepun telah mencatatkan peningkatan sebanyak 6.9 peratus kepada RM4.04 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran getah, keluaran petroleum serta barangan E&E.

“Eksport ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bernilai RM60.68 bilion, menyusut 2.4 peratus manakala import menguncup 9.2 peratus kepada RM44.43 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, import pada bulan Oktober 2020 turun 6.0 peratus tahun ke tahun kepada RM68.93 bilion berbanding RM73.29 bilion pada Oktober 2019.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373