Lelaki disyaki tikam bekas isteri ditahan reman tujuh hari

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Seorang lelaki direman selama tujuh hari bermula semalam selepas disyaki menikam bekas isterinya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Desa Darulnaim, Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Lelaki berusia 51 tahun yang mengalami cedera parah selepas dipercayai menikam dirinya sendiri dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu direman sehingga Sabtu ini.

Dalam kejadian semalam, Rokiah Ayub, 42, maut dipercayai ditikam bekas suaminya, manakala bekas suaminya cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata lelaki itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, lelaki itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan ditidurkan oleh pihak hospital bagi memudahkan rawatan terhadapnya.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati mangsa negatif dadah,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang juga ibu tunggal kepada tiga anak berusia antara 14 hingga 24 tahun maut di lokasi kejadian, manakala bekas suaminya cedera parah di bahagian perut dipercayai selepas menikam diri sendiri.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373