Lelaki maut ditikam: Tiga termasuk seorang OKU ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dalam pergelutan di kawasan kaki lima, Seksyen 9 di sini, meninggal dunia, semalam selepas empat hari dirawat di hospital.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 5.35 petang di Hospital Shah Alam dan bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini untuk mengetahui punca kematian mangsa.

Menurutnya, berdasarkan keterangan awal doktor, mangsa dipercayai ditikam dengan objek tajam di bahagian tengah abdomen.

Katanya, kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai berpunca ketika mangsa datang ke arah dua lelaki berusia 29 dan 47 tahun yang sedang menjaja di hadapan sebuah restoran di Seksyen 9.

“Mangsa telah bertindak memarahi kedua-dua mereka sebelum cuba menyerang dan menumbuk lelaki berusia 29 tahun itu hingga berlaku pergaduhan.

“Pada masa sama, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang melalui kawasan itu telah cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun lelaki OKU itu melarikan diri apabila dia cuba diserang mangsa.

“Mangsa kemudian mengejar lelaki OKU itu sejauh kira-kira 100 meter sebelum rebah di hadapan sebuah kedai perabot akibat kesan darah di bahagian perut,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menahan tiga lelaki termasuk OKU berusia 37 tahun kira-kira jam 6.30 petang, hari kejadian.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan berdasarkan keterangan awal saksi di lokasi kejadian mendapati tiada siapa melihat mangsa ditikam.

“Kesemua tangkapan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Sinar Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373