Maghribi menang, Ghana, Afrika Selatan tumbang

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHANNESBURG: Hakim Ziyech meledak gol dari jarak 40 meter sekali gus membantu Maghribi, pasukan yang mengejutkan apabila layak ke separuh akhir Piala Dunia 2022, mengalahkan Tanzania yang beraksi 10 pemain 2-0 awal pagi tadi.

Pemain sayap Galatasaray itu menyumbat gol pada minit ke-28 di Dar es Salaam dan Tanzania terus ketinggalan apabila Lusajo Mwaikenda menjaringkan gol sendiri lapan minit selepas rehat pada aksi kelayakan edisi 2026 itu.
Tanzania, yang berada 108 anak tangga di bawah Maghribi, terpaksa beraksi 10 pemain pada pertengahan babak kedua selepas Novatus Miroshi dibuang padang susulan dilayangkan kad kuning kedua.

Ketika Maghribi memulakan kempen Kumpulan E dengan kemenangan selepas menerima bye pada aksi pertama minggu lalu apabila Eritrea menarik diri, Zambia mengalami kekalahan mengejut 2-1 di tangan Niger.
Ia kekalahan kompetitif pertama bekas pengurus Chelsea dan West Ham United, Avram Grant sejak mengambil alih Zambia pada Disember lalu.
Satu gol solo menarik daripada Myziane Maolida sejurus sebelum rehat menghadiahkan Comoros kemenangan 1-0 ke atas Ghana di Moroni dan tangga pertama Kumpulan I dengan enam mata, dua mata berbanding pilihan utama Mali.
Comoros turut mengejutkan Ghana 3-2 pada Piala Negara-Negara Afrika sebelum ini – keputusan yang menyaksikan Black Stars tersingkir pada peringkat kumpulan.
Rwanda menyesuaikan diri lebih baik berbanding Afrika Selatan di atas padang tiruan yang basah susulan hujan dalam Kumpulan C di Butare dan menang 2-0 untuk menamatkan rentetan 12 perlawanan tanpa kalah pasukan pelawat.

Kesilapan pemain pertahanan Nkosinathi Sibisi dan Khuliso Mudau menghadiahkan gol buat Innocent Nshuti dan Gilbert Mugisha dalam tempoh 28 minit ketika tuan rumah menggunakan pendekatan yang berkesan.

Cameroon seri 1-1 di Libya tanpa penjaga gol Andre Onana, yang kembali ke Manchester United selepas mengalami kecederaan berikutan kemenangan ke atas Mauritius Jumaat lalu.

Olivier Ntcham menyempurnakan sepakan penalti buat Indomitable Lions, yang memegang rekod Afrika dengan lapan penampilan pada Piala Dunia, sebelum Abdulmunem Aleiyan menyamakan kedudukan sebelum rehat di Benghazi.

Cameroon mengungguli Kumpulan D menerusi perbezaan gol ke atas Cape Verde dan Libya dengan ketiga-tiga negara mengumpul empat mata daripada dua perlawanan.
– AFP
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373