MARGMA sasar pendapatan eksport sarung tangan getah RM38 bilion tahun ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 15 Mac — Industri sarung tangan getah negara disasarkan mencapai RM38 bilion nilai eksport di peringkat global pada tahun ini, lebih tinggi daripada RM35.3 bilion dicatatkan pada tahun lepas.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Dr Supramaniam Shanmugam berkata sebanyak 280 bilion unit sarung tangan akan dikeluarkan oleh Malaysia, mewakili 67 peratus daripada anggaran bekalan sebanyak 420 bilion sarung tangan di peringkat global pada tahun ini.

“Permintaan di peringkat global jauh lebih tinggi daripada penawaran dan kami menyaksikan trend ini berterusan (daripada tahun lepas) bukan hanya pada 2021 tetapi juga hingga 2022, dengan 13,318 sarung tangan digunakan pada setiap saat.

“Kami telah mengambil kira semua senario (persaingan eksport dan jangkaan kejatuhan purata harga jualan) dan yakin sasaran RM38 bilion ini akan dicapai,” katanya pada taklimat media secara maya di sini hari ini.

Supramaniam berkata destinasi eksport utama sarung tangan getah Malaysia pada tahun lepas ialah Amerika Syarikat dengan nilai eksport sebanyak RM11.89 bilion, Jerman (RM2.25 bilion), United Kingdom (RM2.13 bilion), Jepun (RM2.02 bilion) dan China (RM1.57 bilion).

Mengulas mengenai impak pembangunan vaksin global terhadap permintaan sarung tangan getah, beliau berkata tambahan 18 bilion sarung tangan akan diperlukan untuk seluruh proses vaksinasi.

Beliau berkata industri menyaksikan permintaan terhadap sarung tangan getah meningkat antara lapan peratus dan 10 peratus setahun sebelum COVID, dan trajektori meningkat dengan ketara kepada antara 20 peratus dan 25 peratus dalam tempoh pandemik.

Permintaan dijangka meningkat antara 12 peratus dan 15 peratus setahun selepas COVID, katanya.

“Norma baharu berikutan COVID-19 dijangka kekal dan mengekalkan permintaan yang meningkat pada masa ini,” katanya.

Menurut Supramaniam, pemacu pertumbuhan termasuklah keperluan pengawalseliaan, kesedaran penjagaan kesihatan, pertumbuhan penduduk dan penduduk yang berusia.

Beliau berkata industri dijangka menyaksikan suntikan pelaburan antara RM2 bilion dan RM3 bilion setahun, terutamanya dalam inovasi, automasi serta penyelidikan dan pembangunan yang agresif oleh pengeluar.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373