Messi, Miami tewas kepada Dallas

Estimate Reading Time: < 1 minute

MIAMI: Inter Miami diterajui Lionel Messi tewas 1-0 di tangan FC Dallas dalam aksi persahabatan pra-musim.

Selepas seri tanpa jaringan menentang El Salvador pada Jumaat, Miami sekali lagi menampilkan aksi hambar di Stadium Cotton Bowl.

Bintang Argentina, Messi dan bekas rakan sepasukan Barcelona, Luis Suarez serta Sergio Busquets digantikan pada minit ke-64 ketika Miami ketinggalan satu gol.

Messi mencipta beberapa peluang di awal permainan, dan peluang terbaiknya dinafikan penjaga gol Dallas, Maarten Paes di awal babak kedua.

Pemenang Piala Dunia itu hampir membantu Suarez membuka jaringan di babak pertama, namun penyerang Uruguay itu gagal menemui sasaran.

Dallas mendahului permainan hanya selepas tiga minit sepak mula menerusi Jesus Ferreira, apabila penyerang Amerika Syarikat itu melepaskan rembatan rendah melepasi penjaga gol Miami, Drake Callender.

Ia adalah perlawanan kedua dalam jelajah pra-musim padat Miami menjelang aksi pembukaan Major League Soccer bertemu Real Salt Lake pada 21 Februari.

Miami akan ke Arab Saudi untuk aksi menentang Al-Hilal pada 29 Januari, diikuti Al-Nassr yang dibintangi Cristiano Ronaldo pada 1 Februari.

Kelab berpangkalan di Florida itu akan menjelajah ke benua Asia bertemu pasukan pilihan Hong Kong pada 4 Februari, sebelum menentang kelab Jepun, Vissel Kobe di Tokyo tiga hari kemudian.

The Herons kembali ke Amerika Syarikat untuk aksi terakhir menentang bekas kelab Messi di Argentina, Newell’s Old Boys pada 15 Februari.

– AFP 

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373