Mindef cadang tambah kuota kemasukan pelajar MTD ke UPNM – Ismail Sabri

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 5 Mac — Kementerian Pertahanan bercadang untuk meningkatkan kuota sehingga 40 peratus kemasukan pelajar-pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun keputusan jumlah kuota itu bergantung kepada hasil perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana universiti berkenaan berada di bawah KPT.

“Jadi kita menyuarakan pandangan kepada KPT untuk membuka lebih banyak ruang kepada pelajar-pelajar RMC (MTD) untuk memasuki UPNM.

“Sekarang 10 peratus, mungkin boleh dinaikkan sehingga 30 atau 40 peratus (bagi) kemasukan (pelajar),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sulungnya ke UPNM di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Beliau berkata UPNM merupakan universiti gabungan antara latihan ketenteraan dan akademik serta pelajar-pelajar MTD adalah sangat sesuai melanjutkan pengajian ke UPNM.

“Mereka merupakan pelajar terpilih. RMC dianggap sebagai ‘boarding school’ (sekolah berasrama) yang diberikan latihan ketenteraan. (Jadi ia sesuai),” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata siswazah UPNM antara lepasan universiti yang menjadi pilihan para majikan kerana mereka dikatakan mempunyai tahap disiplin yang tinggi.

Justeru itu, Ismail Sabri berkata kebolehpasaran siswazah UPNM ini lebih 90 peratus akan memperoleh pekerjaan.

“Ini disebabkan majikan melihat siswazah UPNM ada kaitan dengan ketenteraan iaitu disiplin,” katanya. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373