MOM beri restu pada Aniq, Aznil

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tetap menyokong dua badang negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin disebalik keputusan mereka menarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou di China, September depan.

Kedua-dua atlet angkat berat negara itu tidak akan beraksi di Hangzhou bagi memberikan fokus sepenuhnya terhadap Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi yang berlangsung serentak dengan Sukan Asia.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata beliau menghormati tindakan dibuat Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) itu memandankan Kejohanan Dunia menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Pertama sekali, saya harus menghormati apa yang dirancang oleh persatuan sukan untuk atlet-atlet mereka. Kedua, kita tahu kelayakan Olimpik sangat penting untuk atlet mengutip mata.

“Mungkin kita akan rasa ada kekurangan dalam Sukan Asia, namun agenda Olimpik lebih penting. Justeru, kita akan bagi sokongan terhadap apa yang dilakukan oleh persatuan,” katanya pada Majlis Perasmian Kejohanan Tenis Piala Billie Jean King di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aniq menjelaskan, dia dan Aznil terpaksa mengetepikan aksi di Sukan Asia untuk memberikan fokus terhadap kejohanan dunia dalam usaha mereka menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Dalam pada itu,Norza turut memberi galakan kepada mana-mana persatuan sukan mengikut jejak langkah Persatuan Lawn Tennis Malaysia (LTAM) dalam menganjurkan kejohanan-kejohanan bertaraf dunia.

“Tahniah kepada LTAM kerana dapat anjur kejohanan bertaraf dunia seperti Piala Billie Jean. Ini harus dijadikan contoh kepada persatuan lain untuk cari jalan bagaimana nak bawah kejohanan seperti ini ke Malaysia.

“Saya alu-alukan setiap persatuan ambil peranan untuk bawa kejohanan-kejohanan besar kerana ia akan jadi pemangkin kepada pembangunan sukan Malaysia. Ia juga mampu beri semangat kepada pemain, jurulatih serta industri sukan itu sendiri,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373