Najib tiba di mahkamah untuk semakan keputusan kes SRC

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 31 Mar 2023 (The Capital Post): Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pagi ini akan memutuskan sama ada membenarkan atau menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak keputusan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu tiba di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar keputusan terhadap permohonannya untuk menyemak semula sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International.

Beliau dilihat memasuki pekarangan di Mahkamah Persekutuan pada 8.36 pagi dengan diiringi polis dan pegawai Jabatan Penjara.

Permohonan Najib untuk dapat kebenaran semak sabitan, hukuman pagi ini akan diputuskan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Bekas perdana menteri memohon diberi kebenaran menyemak keputusan rayuan akhirnya oleh panel yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Tuan Maimun Tuan Mat pada pada 23 Ogos tahun lalu dan jika dibenarkan, memohon perintah supaya dibebaskan atau secara alternatif, rayuan akhirnya didengar panel lain.

Permohonan kebenaran bagi semakan itu dibuat mengikut Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Najib diwakili peguam senior, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Datuk V Sithambaram bertindak sebagai responden yang mewakili Pendakwa Raya dalam permohonan semakan itu.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati bekas perdana menteri itu

bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Mohd Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373