Negara dijangka dilanda gelombang kecil akibat sub-varian XXB

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 31 Okt 2022 (The Capital Post): Malaysia kini sedang berdepan dengan gelombang kecil XBB, sub-varian kepada varian Omicron yang dijangka menyebabkan peningkatan jangkitan COVID-19 antara 3,000 hingga 5,000 kes sehari dalam beberapa minggu akan datang.

Sehingga ini Kementerian Kesihatan mengesan empat kes jangkitan sub-varian berkenaan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kementerian tidak pasti sama ada gelombang kecil itu akan berubah menjadi besar namun ia bergantung kepada tingkah laku masyarakat.

Katanya, model jangkaan (predictive model) yang digunakan Kementerian Kesihatan menjangkakan peningkatan kes harian antara 3,000 hingga 5,000 sehari dalam beberapa minggu mendatang.

Justeru, beliau meminta orang ramai berhati-hati dan berwaspada terutama apabila negara akan memasuki kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mulai Sabtu ini.

“Ia akan membabitkan banyak majlis dihadiri orang ramai. Saya buat keputusan untuk adakan sidang media hari ini (kerana) walaupun lama kita tidak beri kemaskini kes tetapi memandangkan kepada kenaikan kes, kementerian ingin mengingatkan kita masih dalam fasa peralihan.

“Gelombang ini akan datang dan pergi. Kes akan pasang dan surut. Perkara ini sudah kita maklum awal lagi malangnya ia serentak dengan PRU15,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan jangkitan COVID-19, semalam.

Beliau berkata, KKM berpandangan trend jangkitan ketika ini didorong oleh sub-varian XBB, yang menjadi punca kepada gelombang di Singapura baru-baru ini.

Khairy berkata, empat kes yang dikesan di negara ini pula adalah penularan tempatan membabitkan tiga pesakit lelaki dan seorang pesakit wanita, berusia antara 25 hingga 51 tahun, dilaporkan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Katanya, mereka hanya mengalami gejala ringan selain seorang daripada mereka mengalami jangkitan semula.

Beliau berkata, keempat-empat kes berkenaan dikesan hasil penjujukan genom yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap ujian RT-PCR yang dijalankan.

Berikutan itu, beliau sudah meminta penjujukan genom terus dilaksanakan, namun ketika ini tidak ramai yang menjalani ujian RT-PCR termasuk bagi mereka yang masuk ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa.

“Kebanyakan kita kini menggunakan ujian jenis RTK-Ag. Sebab itu kita ada cadangkan strategi yang sudah dibincangkan dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk meningkatkan lagi ujian RT-PCR yang boleh dihantar ke IMR bagi pelaksanaan penjujukan genom untuk kita dapati profil sub-varian yang sedang merebak di Malaysia.

“Tetapi berdasarkan kepada sempadan kita yang terbuka dengan Singapura serta pergerakan manusia dari kedua-dua negara setiap hari, kita mengandaikan bahawa trend peningkatan jangkitan ini juga didorong oleh kes XBB,” katanya.

Selain memakai pelitup muka, Khairy juga menggalakkan orang ramai untuk terus melaksanakan langkah-langkah uji, lapor, maklum, asing dan dapatkan rawatan (TRIIS) serta melaporkan setiap ujian COVID-19 yang dijalani bagi membolehkan KKM mengetahui kadar positiviti sebenar.

Beliau berkata, individu yang positif perlu bertanggungjawab dengan menjalani isolasi di rumah dan hanya keluar selepas keputusan ujian kembali negatif serta mendapatkan ubat Paxlovid bagi mengelakkan gejala yang dialami semakin serius.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373