Nestlé catat untung bersih RM175.2 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Nestlé (Malaysia) Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai memberangsangkan berjumlah RM175.2 juta bagi suku berakhir 31 Mac 2021.

Perolehan bagi suku tahun yang dilaporkan meningkat sebanyak satu peratus kepada RM1.45 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Penyumbang utama ialah perniagaan makanan & minuman (F&B) teras, yang mencatatkan pertumbuhan lima peratus, dipacu

oleh tahap penggunaan di rumah yang menggalakkan, dengan momentum yang kukuh bagi kebanyakan jenama.

Bagaimanapun, prestasi ini dikekang sedikit oleh aktiviti Di Luar Rumah (OOH), yang masih terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kesannya terhadap sektor Hotel, Restoran dan Kafe (HORECA).

Jualan OOH terus berada di bawah paras sebelum COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia), Juan Aranols, berkata

selepas mengambil kira semua peristiwa yang berlaku, pencapaian suku pertama 2021 mencerminkan keupayaan pasukan untuk terus memacu pertumbuhan dan memperkukuhkan prestasi dalam suasana pandemik yang amat mencabar.

“Bagi jenama-jenama Nestlé, kami melaksanakan aktiviti menarik yang mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia.

“Kami mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh jutaan keluarga Malaysia yang terus menjadikan jenama-jenama kami sebagai sebahagian daripada kehidupan harian mereka.

“Tumpuan terhadap keselamatan insan dan kesinambungan bekalan akan diteruskan, lebih-lebih lagi dengan situasi pandemik yang masih belum reda,” katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa inovasi penting dilaksanakan oleh Nestlé (Malaysia) pada suku pertama tahun ini.

Pertama sekali, kumpulan melancarkan kilang makanan berasaskan tumbuhan di Shah Alam dan mula mengedarkan rangkaian produk terbabit ke saluran restoran terpilih.

Bekalan ke saluran runcit dan secara dalam talian kini sedang dilaksanakan pada suku kedua 2021.

Menyusuli kejayaan memperkenalkan MAGGI Sambal Tumis, kumpulan juga melancarkan rangkaian lengkap adunan MAGGI Resipi pes, manakala aiskrim dan konfeksi mencatatkan kejayaan menerusi KIT KAT Gold.

Mengenai prospek tahun kewangan dilaporkan, Aranols berkata kumpulan yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh pada tempoh selanjutnya tahun ini bagi semua perniagaan.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373