NGO sokong keputusan kerajaan tidak laksana semula PPSMI

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan untuk tidak akan melaksanakan semula Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah suatu tindakan tepat kerana kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan, kegagalan program berkenaan.

Sokongan itu disuarakan 15 persatuan berkaitan pelajar, pendidikan dan bahasa di negara ini yang berpendapat, bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan semula PPSMI berikutan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBBI) yang digunakan kini mula memperlihatkan kesan positifnya.

Persatuan yang menyatakan sokongan itu antaranya, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Penasihat PLM, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia semasa di bawah teraju Tan Sri Muhyiddin pada tahun 2011 sudah memutuskan pemansuhan PPSMI selepas kajian yang dilakukan pelbagai institusi bahasa dan pendidikan, menunjukkan kesilapan dan kegagalan program itu.

“Semua kajian menunjukkan bahawa PPSMI tidak berjaya mencapai hasrat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Malah di sebalik perbelanjaan besar yang melebihi RM5 bilion, pencapaian PPSMI hanya sekitar tiga peratus dan menyebabkan kemerosotan yang nyata bagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Rata-rata kajian menunjukkan bahawa lebih 70 peratus pelajar dan guru tidak menganggap PPSMI sebagai program yang tepat bagi hasrat peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, ” katanya melalui kenyataan secara bersama, di sini hari ini.

Pada masa sama, kenyataan itu berkata, pencapaian pelajar negara dalam ujian antarabangsa yang berkaitan dengan Sains dan Matematik seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) danTrend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) merosot dengan ketara sesudah pelaksanaan PPSMI.

Katanya, kesan buruk PPSMI terlihat juga dalam kemerosotan minat pelajar untuk memilih aliran sains sehingga hanya kira-kira 25 peratus sahaja jumlahnya dan masalah itu menimbulkan kesan kepada jumlah pelajar Sains dan Teknologi di institut pengajian tinggi (IPT) yang juga merosot.

“Pakar bahasa dan pendidikan sudah menawarkan penyelesaian dengan meningkatkan penambahbaikan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri, yang meliputi bidang kurikulum, latihan guru, pedagogi atau kaedah pengajaran dan bahan ajar.

“Selain itu, DBP juga menubuhkan pasukan yang diketuai oleh pakar pendidikan, iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron untuk mengemukakan langkah praktis dalam peningkatan pengajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam, untuk dimanfaatkan oleh pihak kementerian,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Program Dwibahasa (DLP) juga perlu dinilai semula pelaksanaannya kerana mewujudkan polarisasi dalam kalangan pelajar, di mana terdapat sejumlah pelajar mengikuti Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan sebahagian lagi dalam bahasa Melayu.

Katanya, selain itu, DLP menjelaskan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama penghantar pendidikan negara sebagaimana yang dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sidang Parlimen menerusi jawapan bertulis menjelaskan pendirian kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak meneruskan pelaksanaan PPSMI di sekolah sebagaimana dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373