Normalisasi jenayah seksual di media sosial gugat hak asasi, keselamatan wanita

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Badan bukan kerajaan (NGO) hak wanita All Women’s Action Society (AWAM) menggesa pemain industri korporat berperanan aktif dalam melindungi wanita di negara ini, dengan menentang “normalisasi” ke atas jenayah rogol dan segala bentuk gangguan seksual.

Pengurus program dan operasi Nisha Sabanayagam berkata, syarikat terbabit perlu memberi penekanan pengetahuan kepada kakitangan mengenai sensitiviti dan juga keganasan jantina.

AWAM mencadangkan penerapan itu dilakukan menerusi latihan kesedaran serta polisi bahagian sumber manusia syarikat berkenaan.

Beliau memberitahu FMT, AWAM menerima permohonan daripada beberapa syarikat korporat untuk mengelolakan latihan berkaitan keganasan berdasarkan jantina, sekurang-kurangya sebulan sekali.

Latihan diadakan sebelum ini berlandaskan kajian kes di Malaysia dan sesi latihan dikendalikan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Hampir 99% faktor kenapa perkhidmatan kami diperlukan adalah kerana kes berkaitan ganggual seksual yang berlaku dalam organisasi tersebut. Syarikat ini mencari penyelesaian bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang,” katanya.

Terbaharu, Honda Malaysia menghubungi AWAM selepas seorang eksekutif kanannya membuat jenaka mengenai rogol, Aids dan penyakit “herpes” di laman rangkaian profesional, Linkedln.

Bekas pekerja syarikat itu Nicholas Gomez menyebarkan tangkap layar hantaran eksekutif berkenaan di Twitter dan menandakan akaun Twitter rasmi Honda.

Eksekutif itu bagaimanapun menjelaskan bahawa catatan berkenaan adalah jenaka disalin daripada sumber lain yang dikongsikannya kerana berasa sangat lucu dan sinis.

Susulan insiden itu, Honda Malaysia mengeluarkan permohonan maaf terhadap hantaran disifatkan sebagai “tidak bersesuaian dan tidak sensitif”.

Syarikat itu juga memaklumkan, siasatan dalaman sedang dijalankan berhubung isu berkenaan. Hantaran itu bagaimanapun dipadamkan dan akaun LinkedIn itu tidak lagi dapat diakses.

Dalam kenyataan, Honda menjelaskan “Hantaran itu sama sekali tidak mewakili pandangan dan pendirian Honda. Malah ia bercanggah dengan nilai yang dipegang syarikat. Kami tidak akan bertolak ansur dengan sikap sebegini baik dalam talian atau pun tidak”.

Nisha berkata, tindakan “menormalisasikan” jenayah seksual di media sosial hanya akan menggalakkan budaya rogol, yang mana hak dan keselamatan wanita menjadi taruhan.

Beliau menegaskan, AWAM akan terus mendesak supaya Akta Jenayah Seksual dapat dibentang, walaupun Parlimen digantung buat masa ini.

Pakar Psikologi Klinikal Dr Chua Sook Ning menjelaskan, terdapat pelbagai faktor mendorong kurangya empati ke atas keganasan jantina, namun paling memberi kesan adalah norma dan nilai sosial dalam masyarakat di negara ini.

“Perkara ini mungkin dianggap remeh kerana dilihat sebagai kesalahan seorang individu sahaja. Namun kalau kita lihat berdasarkan Gerakan #MeToo, keganasan jantina menjadi hal yang biasa dalam komuniti ini,” katanya kepada FMT.

Langkah pertama yang perlu diambil bagi mengubah budaya itu hendaklah dimulakan dengan kesedaran mengenai masalah berkenaan dan keinginan menanganinya. Pengetahuan dan kesedaran tentang isu itu hendaklah dimulakan antara anggota masyarakat sejak dari kecil lagi.

“Semuanya bermula dari rumah. Sikap dipupuk berdasarkan apa diajar oleh keluarga sebelum melangkah ke dunia luar, mengenali kawan dan juga masyarakat sekeliling,” kata Chua.

“Secara amnya, ini akan membuatkan masyarakat kita memandang ringan jenayah dan keganasan yang sangat kejam dan dasyat ini”.

Sementara itu, Pakar Sosiologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Fatimah al-Attas berkata, pendidikan mengenainya tidak hanya terbatas di peringkat sekolah semata-mata.

“Tetapi harus diterapkan ke setiap lapisan masyarakat mengenai pentingnya ‘persetujuan’ dalam hal yang sensitif seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana sebarang jenaka mengenai jenayah rogol akan memberikan kesan langsung kepada mangsa yang kebanyakkannya bergelut dengan trauma.

“Trauma sebagai mangsa yang dipersalahkan dan juga stigma masyarakat.

“Masyarakat awam sering kali memandang ringan hal jenayah seksual, memandang sebelah mata keganasan dan sikap aggresif pelaku dan yang paling sering berlaku adalah menyalahkan mangsa. Menormalisasikan jenayah ini adalah sangat berbahaya,” katanya.

Fatimah berkata, fokus seharusnya diberikan kepada mangsa yang memerlukan sokongan dan membawa penjenayah seksual ke muka pengadilan bagi memikul tanggungjawab ke atas jenayah berdasarkan jantina yang mereka lakukan.

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373