Op Limau: 68 ditahan berjudi

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA, 3 Mac — Polis menahan 68 individu termasuk sembilan wanita yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian sepanjang tempoh Ops Limau yang dijalankan sejak 1 hingga 28 Feb lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Sukri Kaman berkata kesemua mereka itu dicekup dalam 11 serbuan berasingan di tiga daerah negeri ini ketika sedang leka berjudi di rumah dan di kedai.

Beliau berkata sejumlah RM24,852 wang tunai dan set peralatan perjudian turut dirampas sepanjang 28 hari operasi oleh pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu.

“Ketika serbuan dijalankan, ada dalam kalangan mereka bukan hanya leka berjudi malah turut menjamu selera, dan pihak kami turut menemukan wang tunai dipercayai wang pertaruhan dalam serbuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Sukri berkata antara jenis perjudian popular yang dikesan sepanjang Op Limau ialah Mahjong Pit dan Gin Rummy.

Katanya kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi dalam bangunan yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

 

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373