OPR, Inflasi: Bank lebih waspada lulus pinjaman kenderaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Peningkatan kadar faedah pinjaman serta situasi inflasi akan menyebabkan bank akan menjadi lebih berwaspada dalam meluluskan pinjaman sewa beli kenderaan.

Situasi itu dijangka akan memberi kesukaran kepada bakal pembeli kenderaan dalam tempoh terdekat.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata berdasarkan data, apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi rujukan kadar faedah pinjaman tempatan berada pada dua peratus antara Februari 2009 hingga Februari 2010, purata kadar kelulusan pinjaman untuk pembelian kenderaan berada pada 60 peratus.

Beliau berkata, bagaimanapun apabila OPR dinaikkan kepada tiga peratus antara Mei 2011 dan Jun 2014, kadar kelulusan purata jatuh kepada 51 peratus.

Katanya, OPR yang lebih tinggi berkemungkinan akan diterjemahkan kepada perbelanjaan faedah yang lebih tinggi atas pinjaman sewa beli.

Ini katanya menjadikannya lebih mahal dan sukar bagi sesetengah pelanggan.

“Oleh itu, kami percaya bahawa bank akan menjadi lebih berhati-hati dalam kelulusan pinjaman sewa beli.

“Ini juga berpotensi membawa kepada penurunan kadar kelulusan pinjaman sewa beli,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Khai Xhiang berkata, selain itu lonjakan inflasi juga boleh melemahkan kuasa beli pengguna.

Beliau berkata, inflasi teras Malaysia boleh meningkat lagi apabila kerajaan mengambil langkah menyederhanakan tahap subsidi dalam tempoh terdekat.

“Pada pandangan kami, kerana pembelian kereta adalah satu keputusan yang dibuat semata-mata mengikut budi bicara, apabila berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup dan harga kereta yang lebih tinggi, pengguna yang lebih sensitif terhadap harga mungkin lebih cenderung untuk menahan pembelian yang tidak penting,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373