Pameran seni Silat Cekak dijangka jadi tarikan pelancong ke Kedah

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: Pameran sejarah berkaitan Seni Silat Cekak yang akan dipamerkan di Muzium Negeri Kedah selama lima tahun bermula Januari tahun depan dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung untuk melihat lebih dekat berkaitan seni silat ini.

Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Datuk Maideen Kadir Shah, berkata melalui pameran itu pihak muzium berupaya menarik kehadiran pengunjung tempatan dan asing dengan pelbagai aktiviti menarik berkaitan seni mempertahankan diri itu.

“Persatuan ini turut terpanggil untuk bersama menjayakan perancangan ‘The Greater Kedah’ seperti yang direncanakan oleh kerajaan negeri Kedah memandangkan seni silat itu turut berasal dari negeri ini.

“Pameran yang bakal diadakan itu julung kali dianjurkan dengan kerjasama pihak muzium Negeri Kedah malah akan diperluaskan di seluruh negara dengan kerjasama muzium negeri lain jika mendapat sambutan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pameran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Muzium Negeri Kedah, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Penaung PSSCM, Tunku Datuk Prof Dr Fauzi Tunku Abdul Malek Al-Haj dan Pengarah Muzium Kedah, Suhaidi Shukri.

Maideen berkata, ini bukanlah kerjasama kali pertama dengan pihak muzium itu kerana sebelum ini pihaknya pernah menyerahkan parang lading iaitu senjata rasmi silat cekak untuk dipamerkan di situ.

Katanya, dengan keahlian yang ramai di seluruh negara, beliau percaya akan dapat membantu mempromosikan muzium yang ada di Kedah kepada orang ramai.

“Kami mempunyai 2,000 ahli aktif, 20,000 ahli berdaftar dan 200,000 ahli yang pernah bersama-sama PSSCM di seluruh negara sebelum ini.

“Berdasarkan sejarah, silat ini pernah diamalkan oleh panglima kanan kerajaan negeri Kedah untuk menghadapi pencerobohan dari luar negeri sewaktu zaman pemerintahan Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaidi pula berkata, kerjasama strategik yang diadakan itu adalah salah satu usaha dilakukan oleh pihaknya untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing melawat semua muzium yang ada di negeri ini.

“Silat salah satu seni yang perlu ditonjolkan selain mempunyai kaitan dengan sejarah negeri Kedah.

“Disebabkan itu, pihak kami mengambil peluang ini untuk bekerjasama dengan PSSCM bagi mengadakan pameran di Muzim Kedah selain untuk menyebarkan ilmu pengetahuan berkaitan seni silat cekak ini,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373