Parti pemerintah Korea Utara kritik kegagalan pelancaran satelit

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEOUL: Parti pemerintah Korea Utara menyelar pelancaran satelit yang gagal baru-baru dalam mesyuarat peringkat tertinggi, sambil melemparkan kritikan ‘pedas’ ke atas pegawai bertanggungjawab, lapor media kerajaan KCNA hari ini.

Dalam laporan mesyuarat Jawatankuasa Parti Pekerja Korea Pusat, parti pemerintah mengkritik keras pegawai yang dituduh cuai melakukan persiapan untuk pelancaran satelit dan menuntut siasatan ke atas kegagalan serius itu.

Berikutan itu, jawatankuasa terbabit mengulangi janjinya untuk melancarkan satelit pengintip lain tidak lama lagi, yang sebelum ini dikatakan Pyongyang diperlukan untuk mengimbangi peningkatan kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau itu.

Pelancaran pada 31 Mei lalu itu bagaimanapun dikecam AS, Korea Selatan dan Jepun kerana didakwa melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menghalang negara bersenjata nuklear itu daripada menjalankan sebarang ujian menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.

Menurut penganalisis, terdapat pertindihan teknologi yang ketara antara pembangunan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dan keupayaan pelancaran angkasa lepas.

Sewaktu melancarkan satelit, Korea Utara juga didakwa menjalankan beberapa pelancaran yang bercanggah dengan sekatan terhadapnya tahun ini.

Ia termasuk menguji peluru ICBM versi terbaru yang dikatakan senjata paling berkuasa.

Hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan semakin memburuk sejak kebelakangan ini, dengan diplomasi kedua-dua negara itu sudah pun terhenti.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menggesa tenteranya meningkatkan pembangunan senjata termasuk senjata nuklear taktikal.

Beberapa hari kebelakangan ini, Korea Selatan mendakwa berjaya memperoleh sebahagian besar roket dilancarkan Korea Utara yang terhempas, dari dasar laut.

Seoul berkerja keras selama lebih dua minggu untuk mendapatkan serpihan itu, kerana ia dipercayai boleh membantu saintis mendapatkan maklumat mengenai program pembangunan peluru berpandu balistik dan satelit Pyongyang.

– AFP

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373