PDPS beri perlindungan golongan rentan – Muhyiddin

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) merentas agensi meliputi elemen pekerjaan, insuran sosial dan bantuan sosial, kata Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Perdana Menteri berkata, pendekatan baharu yang lebih berkesan itu berupaya menyediakan liputan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh terutamanya kepada kumpulan rentan.

Beliau berkata, pangkalan data itu bakal menjadi rujukan tunggal program dan profil perlindungan sosial negara.

“Rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 serta kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial negara seperti mereka yang berada dalam sektor tidak formal dan persendirian perlu dikenal pasti keperluan masing-masing agar bantuan segera yang bertepatan dapat diberikan.

“Dengan jaringan keselamatan sosial negara diperkukuh dan diperluaskan melalui Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), saya yakin lebih banyak isi rumah kategori miskin atau miskin tegar dapat dibantu dan dilindungi,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Katanya, bantuan sosial yang diberikan tidak harus terhad kepada bantuan tunai atau pemberian bakul makanan sahaja sebaliknya, meliputi aspek mobiliti sosial serta nilai tambah yang boleh meningkatkan pendapatan mereka.

Hal berkenaan kata beliau turut dibangkitkan ketika mempengerusikan mesyuarat pertama MySPC secara sidang video, pagi tadi.

“Mesyuarat kali ini menumpukan kepada agenda peluasan dan pemantapan program jaringan keselamatan sosial negara antaranya melalui cadangan penambahbaikan dan perluasan skim perlindungan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial,” katanya.

Muhyiddin berkata, MySPC ditubuhkan pada 2016 dan kali terakhir bermesyuarat pada Disember 2019, kini diaktifkan semula, bertujuan menyelaras agenda kesejahteraan sosial yang menyeluruh dan bersepadu khususnya agenda menangani kemiskinan.

“MySPC dianggotai 15 kementerian, Ketua Setiausaha Negara, Gabenor Bank Negara dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373