Pelabur asing pembeli saham tiga minggu berturut-turut

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus menyaksikan pelabur asing sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan merekodkan jumlah aliran masuk RM172.4 juta.

Bagaimanapun, jumlah itu jauh lebih sederhana berbanding minggu sebelumnya iaitu RM676.7 juta.

Menurut MIDF Research, dagangan Rabu minggu lalu mencatatkan aliran masuk asing harian tertinggi berjumlah RM191.9 juta manakala pada Khamis sebanyak RM43.7 juta.

“Namun begitu, pada Jumaat, terdapat aliran keluar bersih sebanyak RM58.2 juta,” katanya dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 17 November.

Firma penyelidikan itu menyatakan tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM115.2 juta), penjagaan kesihatan (RM63.5 juta), serta pengangkutan dan logistik (RM51.9 juta).

Tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM41.6 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM31 juta) dan teknologi (RM30.8 juta).

Pasaran ditutup pada hari Isnin untuk cuti gantian perayaan Deepavali yang disambut pada Ahad.

Sementara itu, institusi tempatan merekodkan jualan bersih RM95.6 juta minggu lalu, iaitu jualan bersih minggu ketiga berturut-turut.

Setiap hari dagangan pada minggu berkenaan menyaksikan jualan bersih, kecuali pada Jumaat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2023.

Peruncit tempatan meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu keenam berturut-turut, dengan jualan bersih berjumlah RM76.8 juta.

“Hanya Selasa dan Jumaat mencatatkan aliran masuk masing-masing sebanyak RM22.8 juta dan RM3.2 juta,” kata MIDF Research.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 3.6 peratus dan pelabur asing (3.3 peratus), tetapi penurunan dalam kalangan institusi tempatan sebanyak 7.4 peratus.

– BERNAMA

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373