Pelajar hebahkan manfaat vaksinasi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) menguar-uarkan manfaat program vaksinasi kepada orang ramai.

Perdana Menteri berkata, program vaksinasi antara usaha kerajaan menurunkan kadar jangkitan COVID-19 dalam kalangan penduduk.

“Bagi fasa ketiga yang akan datang nanti, saudara-saudari sebahagian daripadanya.

“Saya mengharapkan bahawa semuanya telah pun mendaftarkan diri untuk divaksin.

“Saya mengharapkan saudara dan saudari selaku jurucakap kepada pelajar IPT, menguar-uarkan manfaat program vaksinasi ini kepada mereka di luar sana,” katanya dalam perutusan perdana bersempena Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) secara dalam talian, hari ini.

Mesyuarat perdana itu dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.

Yang turut hadir, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Perdana Menteri berkata, pada masa kini, negara kita dalam proses fasa pertama pemberian vaksin yang dikhususkan kepada petugas barisan hadapan.

Katanya, bermula April depan, fasa kedua pemberian vaksin kepada kakitangan penjaga kesihatan dan perkhidmatan penting yang lain serta warga emas berumur 65 tahun ke atas akan dilaksanakan.

“Ini seterusnya akan disusuli dengan fasa ketiga pada Mei 2021 yang menyasarkan sekurang-kurangnya 13.7 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas menerima vaksin,” katanya. -BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373