Pelajar terbaik Kolej Universiti Agrosains buktikan petani bukan profesion ‘kampung’

Estimate Reading Time: 2 minutes

NILAI: Pelajar terbaik keseluruhan Kolej Universiti Agrosains (UCAM), Mohd Shah Safiq Hamran membuktikan usahawan tani bukan profesion ‘kampung’ sebaliknya mampu mengubah nasib keluarga dengan memperoleh pendapatan lumayan.

Hanya dalam tempoh setahun, usahawan tani muda berusia 25 tahun itu mampu menjana pendapatan antara RM25,000 hingga RM30,000 sebulan dengan mengusahakan tanaman pelbagai sayuran di tanah seluas 4.04 hektar di Batu Kikir, Jempol.

Beliau yang juga pelajar terbaik keseluruhan UCAM, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) milik penuh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, kejayaannya didorong oleh bantuan kerajaan termasuk pinjaman perniagaan dan kursus keusahawanan untuk mengembangkan lagi perniagaannya dalam sektor pertanian.

Mohd Shah Safiq yang juga pemilik syarikat Nourish Greater Green Enterprise berkata dia mengusahakan tanaman sayur-sayuran secara fertigasi dan konvensional sejak tahun lalu dengan dibantu lima pekerja asing.

“Saya menanam pelbagai jenis sayur-sayuran antaranya terung, cili, kacang panjang, sawi dan maman. Semua sayur berkenaan dipasarkan di sekitar Jempol, Kuala Pilah dan Seremban selain Lembah Klang.

“Alhamdulillah, projek itu begitu menjadi tapi ia perlu diuruskan dengan baik dan bersistematik kerana ada pelbagai musuh tanaman yang perlu ditangani untuk

memastikan hasil yang berkualiti,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Konvokesyen UCAM Kali Ke-20, di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang menyempurnakan majlis berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal serta Ketua Pegawai Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Datuk Hisan.

Pada majlis itu, Mohd Shah menerima Anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian itu berkata, dia memulakan projek itu di tanah milik kerajaan negeri dengan sokongan pembiayaan dana sebanyak RM50,000 daripada Agrobank.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, walaupun menghadapi pelbagai kekangan termasuk persepsi dari kalangan golongan muda mengenai bidang pertanian tapi semuanya itu diketepikan untuk mencapai impiannya bergelar usahawan pertanian muda berjaya.

“Selain ilmu dan kemahiran yang saya peroleh daripada UCAM, kejayaan ini juga adalah hasil sokongan kedua ibu bapa dan ahli keluarga serta Jabatan Pertanian

Negeri Sembilan (JPNS).

“JPNS banyak memberi khidmat nasihat dan kepakaran untuk memastikan projek dilaksanakan itu berjalan lancar dan membuahkan hasil yang baik,” katanya yang berhasrat untuk mengembangkan lagi projek berkenaan termasuk dalam bidang ternakan.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373