Pelanggan Maybank boleh bayar guna QR Pay di China

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Maybank memperluaskan perkhidmatan QR Pay rentas sempadan ke China, salah satu yang pertama dalam pasaran untuk bank Malaysia.

Ia menguatkan keupayaan pembayaran rentas sempadan sedia ada Maybank di samping meningkatkan kemudahan dan kecekapan transaksi kewangan.

Inisiatif ini bertujuan untuk memanfaatkan lebih lapan juta pengguna aplikasi Maybank MAE yang melawat China serta lebih 700,000 peniaga Maybank QRPay di Malaysia melalui transaksi yang dibuat oleh pelawat dari republik itu.

Pada 2023, Maybank melancarkan ciri QR Pay rentas sempadan yang disediakan untuk pengguna aplikasi MAE Malaysia yang melancong ke Thailand, Indonesia dan Singapura, membolehkan peniaga QR Pay Maybank sedia ada menerima pembayaran daripada pelancong serta pelawat yang menggunakan aplikasi pembayaran disokong dari negara-negara ini.

Penambahan koridor China baru-baru ini mengesahkan komitmen Maybank untuk memupuk hubungan kewangan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata pembabitan aktif Maybank dalam inisiatif rentas sempadan menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan, sejajar dengan teras strategik M25+ Maybank iaitu mengukuhkan kehadiran serantau.

“Kemasukan ke China menawarkan peluang luar biasa bagi akses pasaran China yang dinamik dan berkembang maju, mengukuhkan lagi jejak antarabangsa kami.

“Ini adalah peristiwa penting dalam misi kami untuk menyampaikan penyelesaian pembayaran yang tidak dapat ditandingi dengan lancar dan selamat, serta teruja membawa perkembangan baharu ini kepada semua pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semasa di China, pengguna aplikasi MAE Malaysia boleh membuat pembayaran tanpa tunai dengan peniaga AliPay.

Pengguna perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MAE dan seterusnya memasukkan jumlah pembayaran yang akan ditukar kepada mata wang tempatan China, renminbi.

Ini diikuti dengan pengesahan pembayaran segera yang memperincikan kadar pertukaran dan jumlah yang boleh ditolak dalam ringgit.

Begitu juga, peniaga di Malaysia kini boleh menerima pembayaran QR daripada pelancong yang datang dari China.

Ia pantas, mudah dan selamat dengan mengimbas DuitNow QR melalui Alipay, salah satu platform pembayaran pilihan di China.

Inisiatif strategik itu adalah hasil kerjasama berterusan Maybank dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi membantu rakyat Malaysia yang melancong ke China, dan pelancong China dalam perjalanan yang melawat Malaysia.

Pelancong China terus menjadi segmen sasaran utama bagi Malaysia, dengan Kementerian Pelancongan mengumumkan kira-kira 16 juta pelancong untuk 2023, dengan lima juta daripadanya dijangka dari China.

Sebelum pandemik pada 2019, pelancong China memberikan sumbangan besar sebanyak RM15.3 bilion dalam resit pelancong.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373