Pemandu Myvi akan didakwa esok

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU – Pemandu Perodua Myvi yang terlibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Taman Pelangi di sini pada Sabtu lalu sehingga menyebabkan seorang anggota tentera maut akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan perkara itu kepada Sinar Harian.

“Betul, pendakwaan akan dibuat esok, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut nahas tiga kereta

Dalam kejadian itu, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia ( TLDM), Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas keretanya dirempuh Perodua Myvi berkenaan yang dipandu seorang wanita berusia 23 tahun.

Difahamkan, kereta dipandu wanita itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan sebelum melanggar dua kereta iaitu Honda Accord yang dipandu Mohd Rizal dan Proton Iswara dipandu seorang warga emas, Chang Ah May, 78.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain dilaporkan berkata, saringan awal air kencing mendapati pemandu wanita berkenaan positif dadah.

“Pemandu Myvi sudah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan saringan awal air kencing mendapati positif dadah. Kes siasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -SINAR HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373