Penangguhan Pembayaran Balik Pinjaman Selama 6 bulan – PM

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 25 Mac 2020 (The Capital Post)- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman selama enam bulan untuk penyusunan semula baki kad kredit dan pinjaman perniagaan yang melibatkan sekurang-kurangnya RM100 bilion berikutan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Beliau berkata kesan daripada penularan wabak COVID-19 bukan sahaja menimbulkan kebimbangan mengenai kesihatan dan kesejahteraan malah Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) juga telah menimbulkan kebimbangan rakyat mengenai masalah kewangan.

“Semua lapisan masyarakat sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian risau mengenai kedudukan kewangan mereka.

“Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan adalah pembayaran balik pinjaman bank, baik bagi peminjam swasta dan Perusahaan Kecil dan Sederhana yang perniagaannya telah terjejas disebabkan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bermula pada 1 April, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam dan PKS individu dalam masa yang sangat sukar ini, menurut Perdana Menteri.

Bagi pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan, mereka boleh memilih untuk menukar baki kad kredit mereka kepada pinjaman berkala.

Peminjam boleh memanfaatkan kelonggaran penangguhan itu untuk menangguhkan pembayaran balik kad kredit mereka dari 1 April hingga 31 Disember, 2020, katanya.

Bagi sektor korporat, Muhyiddin berkata perniagaan boleh berunding dengan bank mereka untuk menyusun semula pembayaran mereka untuk memenuhi keadaan perniagaan mereka.

“Ini penting untuk membolehkan syarikat kekal mampu mengekalkan pekerjaan dan meneruskan aktiviti perniagaan mereka,” katanya.

Kerajaan mengikut beliau, sedang mengkaji cara untuk mengurangkan beban rakyat dan langkah-langkah rangsangan ekonomi yang lebih komprehensif dan bermakna bagi mereka dan ekonomi akan dilancarkan tidak lama lagi.

Beliau menambah bahawa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia telah diminta memberikan lebih banyak butiran mengenai pengumuman hari ini agar rakyat dapat memahami sepenuhnya manfaat yang ditawarkan. – The Capital Post

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373