‘Penangguhan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 sangat mengecewakan’

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) hari ini, menghantar memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi membantah keputusan kerajaan menangguhkan tarikh penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie Bp Mammal, berkata tindakan diambil kerajaan itu sangat mengecewakan kerana tiada perbincangan dilakukan sebelum menangguhkan penguatkuasaan akta berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengadakan perbincangan terlebih dulu, sudah tentu pihaknya memahami situasi berkenaan dan isu seperti ini tidak timbul.

“Jika sesuatu perancangan (dibincangkan) kerajaan, perkara ini tidak timbul. Pindaan ini sudah dibawa ke Parlimen dan dibahas dengan parti politik yang lain, kenapa ketika itu semua okay dan kini ada bantahan kononnya mahu bagi keutamaan untuk selesaikan isu pekerja asing pula.

“Kita pertikaikan kejujuran itu dan kerajaan dianggap tidak telus dalam hal ini. Kami sangat kecewa dan keputusan yang diambil ini satu penghinaan besar terhadap warga pekerja di negara ini.

“Ia mencerminkan kelemahan kerajaan dan kementerian itu sendiri, seolah-olah tidak membuat persediaan rapi dalam melaksanakan pindaan dan penguatkuasaan peruntukan baharu,” katanya selepas menghantar memorandum kepada pegawai menteri, di perkarangan KSM, hari ini.

Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu meluluskan pindaan Akta Kerja 1955, sebelum ia diluluskan di Dewan Negara lapan hari kemudian dan sepatutnya dikuatkuasakan pada Khamis lalu.

Antara kandungan pindaan itu termasuk penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Bagaimanapun, KSM memaklumkan pindaan akta itu ditangguhkan dan akan dilaksanakan bermula Januari depan.

Saravanan berkata, penangguhan itu dibuat kerana memberi ruang kepada majikan menyelesaikan isu berkaitan kekurangan tenaga buruh dan pengambilan pekerja asing.

Beliau berkata, penangguhan ini dibuat selepas mempertimbangkan permintaan pihak majikan yang berdepan masalah kekurangan tenaga buruh, selain kebanyakan pekerja asing mula masuk mulai Ogos.

Sementara itu, Mohamed Shafie berkata, KSM sepatutnya membela nasib lebih 15 juta pekerja di negara ini, namun kini dilihat sanggup mengambil keputusan drastik dan mengabaikan kepentingan pekerja di Malaysia.

“Jika pembelaan pekerja tidak diberi perhatian oleh kerajaan, siapa lagi yang boleh membantu pekerja ini. KSM gagal dalam tugas hakiki sebagai pelindung kepentingan dan pekerja,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373