Penceramah dari negeri dikenakan PKPB tidak dibenar berceramah di Melaka

Estimate Reading Time: 2 minutes

MELAKA, 22 Okt — Penceramah luar terutama dari negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tidak dibenarkan berceramah di masjid dan surau di Melaka berkuat kuasa serta-merta sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka Datuk Md Azhan Samat berkata ia sebagai salah satu usaha mengekang penularan COVID-19, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) khususnya di negeri ini.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan pengisytiharan PKPB di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, oleh kerajaan sebelum ini ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di negeri terlibat. Pelaksanaan garis panduan ini adalah prosedur biasa serta langkah proaktif, mengekang penularan COVID-19 berdasarkan situasi semasa dan rakyat tidak perlu panik.

“Beberapa garis panduan bagi mengimarahkan masjid dan surau di Melaka juga ditetapkan, termasuk semua masjid dan surau hendaklah menangguhkan penganjuran program berskala besar seperti ceramah atau forum perdana, sambutan Maulidur Rasul peringkat kariah, program tahnik dan khatan beramai-ramai,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata penganjuran program hanya boleh melibatkan kapasiti 40 peratus daripada ruang masjid, dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 200 orang yang terdiri dalam kalangan anak kariah, selain memastikan penjarakan satu meter antara jemaah dilakukan.

Katanya program melibatkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun juga hendaklah ditangguh, dan pergerakan secara berkumpulan antara masjid ke masjid yang lain adalah dilarang.

Dalam pada itu, Md Azhan berkata pentadbir masjid dan surau dikehendaki mendaftarkan aplikasi MySejahtera, selain menyediakan rekod pendaftaran secara manual bagi tujuan pendaftaran jemaah, manakala makanan untuk jemaah disediakan secara bungkus.

Beliau berkata penganjur program di masjid dan surau pula dikehendaki menyediakan rekod pendaftaran, alat pengimbas suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal, melakukan sanitasi di ruang yang menjadi tumpuan jemaah, serta bertanggungjawab sepenuhnya dari segi kawalan keselamatan dan risiko sebelum, semasa dan selepas program diadakan.

Katanya jemaah pula perlu sentiasa memakai pelitup muka semasa berada di masjid dan surau, serta digalakkan membawa sejadah serta telekung sendiri bagi mengurangkan risiko jangkitan. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373