Penduduk Thailand diramal kurang 50 peratus dalam 60 tahun

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGKOK: Penduduk di Thailand diramal berkurang sehingga 50 peratus dalam tempoh enam dekad akan datang, susulan negara itu kini sedang bergelut dengan krisis demografi yang menyaksikan penurunan kadar kelahiran.

Penurunan yang membimbangkan itu mencetuskan gesaan daripada kumpulan pakar untuk menggalakkan kelahiran dengan ia dijadikan sebahagian daripada agenda nasional negara.

Pakar demografi, Kue Wongbunsin, berkata jumlah penduduk Thailand akan berkurangan daripada 66 juta kepada 33 juta menjelang 2083.

Selain itu, kata beliau, penduduk dalam lingkungan usia 15 hingga 64 tahun akan susut daripada 44 juta kepada hanya 14 juta.

“Sementara itu, bayi dan kanak-kanak sehingga berusia 14 tahun, akan turun daripada 10 juta kepada hanya sejuta.

“Warga emas berusia 65 tahun ke atas akan meningkat daripada lapan juta kepada 18 juta, membentuk 50 peratus daripada jumlah penduduk negara ini,” katanya.

Pada masa sama, Wongbunsin berkata, sekiranya penurunan penduduk berterusan dan penduduk dalam kalangan usia produktif berkurangan, kerajaan dikhuatiri berdepan cabaran dalam kutipan cukai bagi menyokong pembangunan negara.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Awam, Dr Cholnan Srikaew, berkata penurunan kadar kelahiran Thailand kini mencapai tahap kritikal.

Jelas beliau, bilangan bayi baru lahir menurun daripada lebih sejuta setahun dari 1963 hingga 1983, kepada hanya 485,085, berbanding 550,042 kematian pada 2021.

“Ini mengakibatkan penurunan penduduk bersih sebanyak 64,957 orang pada tahun itu,” katanya.

Pola itu sejajar dengan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) Thailand, yang berada di bawah paras penggantian iaitu hanya kira-kira 2.1 kanak-kanak bagi setiap wanita sejak 1993.

Malah tahun lalu, TFR Thailand direkodkan lebih rendah iaitu 1.16 di hampir setiap wilayah, kecuali Yala.

Perubahan yang ketara dijangka berlaku tahun ini apabila penduduk usia produktif antara 20 hingga 24 tahun dijangka gagal mengimbangi jumlah individu yang meninggalkan dunia pekerjaan, berusia 60 hingga 64 tahun.

Ia akan mewujudkan jurang yang semakin melebar antara mereka yang memasuki dan keluar pasaran kerja, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan tenaga kerja.

Pada masa sama, akan berlaku peningkatan kebergantungan kepada orang yang berusia untuk bekerja, dan perbelanjaan penjagaan kesihatan lebih tinggi untuk warga tua.

Pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran di Thailand, termasuk kebimbangan ekonomi, sosial, pendidikan dan alam sekitar yang menghalang orang ramai daripada mempunyai anak.

Sebaliknya, isu berkaitan kesihatan menyumbang hanya 10 peratus daripada penurunan kadar kelahiran itu.

– AGENSI

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373