Pengecualian kadar faedah moratorium B50 tertangguh?

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bank masih dalam rundingan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium dari segmen B50, demikian kata penganalisis RHB Research.

Secara teknikalnya, BNM seharusnya sudah mengumumkan perincian mengenai moratorium seperti yang dijadualkan bermula hari ini, katanya dalam nota penyelidikannya.

Namun, berdasarkan penelitiannya, bank tidak mungkin memulakan moratorium seperti yang dijadualkan memandangkan mereka masih berbincang dengan bank pusat.

Justeru, ia menjangkakan impak sentimen pelabur terhadap sektor perbankan dijangka kecil sebaik saja pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium dari segmen B50 itu dilaksanakan.

“Kesannya mungkin masih sama dengan bank cenderung untuk mengundurkan moratorium. Kami jangka reaksi minimum daripada pelabur semasa pengumuman kerana kebanyakan kesannya sudah diambil kira,” katanya.

Pada bulan lalu dilaporkan institusi perbankan di Malaysia telah diarahkan oleh Kementerian Kewangan untuk segera memberikan pengecualian faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dari segmen B50 untuk suku keempat 2021.

Mengenai prestasi pinjaman, RHB Research berkata, pihaknya melihat terdapat petunjuk awal kemajuan meskipun pinjaman pada Ogos merosot susulan impak pelaksanaan berterusan sekatan pergerakan.

Ia berkata, permintaan pinjaman meningkat semula berikutan kerajaan melonggarkan sekatan secara beransur-ansur.

“Secara asas bulanan, permohonan pinjaman meningkat semula 12 peratus dari bulan ke bulan didorong kebanyakannya oleh segmen isi rumah dengan permohonan bagi pinjaman gadai janji dan auto meningkat dari bulan ke bulan masing-masing 6.0 peratus dan 51 peratus.

“Sektor pengangkutan & penyimpanan serta borong & runcit juga menyaksikan peningkatan permohonan pinjaman sebanyak 63 peratus dan 26 peratus dari bulan ke bulan,” katanya.

Pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) susut sedikit pada Julai, menjadikan pertumbuhan tahunan tempoh tujuh bulan 2021 perlahan pada kadar hanya 0.7 peratus.

Kelemahan dicatatkan dari bulan ke bulan dengan pertanian (-2.6 peratus) dan borong & runcit (-0.4 peratus) menerajui kemerosotan. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373