Pengeluaran KWSP sebagai cagaran, pastikan rakyat masih ada wang persaraan

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kebenaran yang diberi kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat pinjaman bank adalah cara terbaik kerajaan memastikan rakyat masih mempunyai wang persaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata inisiatif kerajaan itu perlu disokong kerana ia memberi manfaat kepada pencarum yang layak dan pada masa sama, menjamin kelangsungan hidup di hari tua.

“Sekarang ini, rakyat memang mahu mengeluarkan wang KWSP, namun kena lihat, jika benarkan rakyat keluarkan KWSP, untuk tempoh jangka panjang mereka akan hadapi masalah ketika persaraan kelak.

“Pengumuman KWSP hari ini membenarkan pengeluaran wang ini dengan cagaran, memberi manfaat kepada pencarum yang layak kerana wang persaraan mereka sedikit terjamin, berbanding jika dibenarkan pengeluaran secara terus.

“Dengan adanya syarat, termasuk had ditetapkan, pinjaman yang diberikan masih terkawal,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas pengumuman KWSP, yang membenarkan pencarum berusia 40 tahun dan ke atas, dengan baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2, membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), bermula 7 April ini.

Ahli yang layak boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN), dengan kadar faedah empat hingga lima peratus, lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan peratus hingga 15 peratus.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara yang lebih menarik adalah kadar faedah cagaran yang rendah iaitu antara empat dan lima peratus.

“Kadar faedah ini sangat rendah dan tidak akan dapat dari mana-mana tempat lain, malah Ah Long pun tidak bagi serendah itu.

“Namun pencarum dinasihatkan, kalau benar-benar perlukan duit baharu buat cagaran itu. Kalau kita boleh cari atau usaha cara lain, itu adalah lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan adalah untuk masa persaraan nanti dan kegunaan hari tua, bukannya untuk dibelanjakan untuk anak-anak.

“Waktu sekarang tidak boleh harapkan anak, kalau tiada jaminan untuk masa depan nanti, yang akan terkesan atau sengsara adalah diri kita sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai desakan berterusan pihak tertentu supaya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP, Saravanan berkata, tidak semua dasar kerajaan akan menggembirakan setiap pihak.

Katanya, kerajaan perlu melihat dan mempertimbangkan semua aspek, termasuk implikasi kepada ekonomi dan sosial.

“Sebagai rakyat, kita juga perlu bertolak ansur. Kerajaan sudah cuba bertolak ansur, jadi rakyat juga perlu bersikap sama,” katanya yang turut menggesa kerajaan memperbanyakkan program mendidik dan meningkatkan kesedaran secara berterusan supaya rakyat peka mengenai simpanan persaraan. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373