Peniaga gesa kerajaan sedia alternatif selepas batal bazar Ramadan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Peniaga meminta kerajaan menyediakan pelan alternatif selepas beberapa negeri membatalkan penganjuran bazar Ramadan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Seorang peniaga bazar Ramadan di Selangor, Mastar Muni akur dengan keputusan kerajaan, tetapi sedikit kecewa kerana tidak dapat menjana pendapatan seperti dahulu.

“Saya sudah berniaga di bazar Ramadan hampir 20 tahun.”

“Tahun ini sudah tentu berbeza kerana pendapatan saya merosot,” kata peniaga nasi lemak itu kepada FMT.

Mastar, 57, berkata secara purata beliau memperoleh sehingga RM5,000 ketika berniaga di bazar Ramadan.

Katanya, beliau tidak pasti bagaimana mahu menjual nasi lemak pada bulan puasa tahun ini, walaupun jika kerajaan memperkenalkan perniagaan atas talian.

Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya mempertimbangkan bazar Ramadan diadakan, tetapi mengikut prosedur operasi standard ketat seperti peniaga di pasar borong dan pasar tani.

Beliau mendakwa kebanyakan kedai runcit yang beroperasi ketika PKP tidak mematuhi SOP betul.

Pada 3 April lalu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan membenarkan penganjuran bazar Ramadan jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Tetapi, katanya, jika PKP berakhir sebelum ketibaan bulan puasa, operasi bazar Ramadan bergantung kepada SOP baru yang akan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Sehingga kini, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Sarawak dan Sabah sudah membatalkan penganjuran bazar Ramadan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Seorang peniaga bazar Ramadan di Melaka, Husain Ali, 57, menyambut baik keputusan kerajaan negeri itu, tetapi beliau bimbang dengan masa depannya.

Peniaga nasi lemak kukus itu berkata, ketika ini, beliau hanya bergantung kepada pencen RM200 sebulan dan menjual kopi secara kecil-kecilan atas talian.

Katanya, beliau menjana pendapatan RM5,000 ketika berniaga di bazar Ramadan pada tahun sebelumnya.

“Tahun ini dibatalkan sebab kita tahu Covid-19 tak menentu. Kita perlu ikut perintah kerajaan.”

“Saya belum belum terfikir mahu menjual apa pada bulan Ramadan nanti. Buat masa ini, fokus dengan jual kopi online.”

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373