Penjawat awam rugi RM200,000 ditipu Macau Scam

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam kerugian RM200,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Lelaki berusia 37 tahun itu pada awalnya dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dari Pejabat Pos Sabah dan memaklumkan maklumat diri mangsa disalahgunakan bagi penghantaran kad mesin juruwang automatik (ATM) serta cek, dalam kejadian antara Oktober hingga November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah, berkata mangsa juga dihubungi ahli sindiket berkenaan yang menyamar sebagai polis Sabah menggunakan talian 0111-1542 554 dan memaklumkan mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram.

“Mangsa panik dengan panggilan terbabit sehingga mengikut arahan yang diberikan dengan membuat pembayaran bagi membersihkan namanya daripada kes pengubahan wang haram.

“Bermula 15 hingga 18 November lalu, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat berjumlah RM200,000 ke dalam akaun bank yang diberikan ahli sindiket bagi menyelesaikan kes yang kononnya membabitkan mangsa.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila menghubungi polis Sabah dan terkejut kerana dimaklumkan mangsa ditipu, susulan itu, satu laporan polis dibuat olehnya di Balai Polis Batu Pahat, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salleh berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkenaan sebelum melakukan transaksi kewangan kepada akaun bank individu yang tidak dikenali.

Katanya, orang ramai juga diingatkan tidak mudah panik dan cemas sekiranya dihubungi orang yang tidak dikenali dengan memberitahu terbabit dengan mana-mana kes jenayah kerana pihak polis tidak sewenang-wenangnya menghubungi untuk menyelesaikan kes melalui talian.

“Polis juga tidak pernah mengenakan sebarang bayaran untuk menyelesaikan apa juga kes jenayah,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373