Perancah besi runtuh diklasifikasi kemalangan jalan raya – JKKP

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Insiden runtuhan perancah besi pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak di sini, semalam, diklasifikasikan sebagai kemalangan jalan raya.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur, Husdin Che Amat, berkata insiden itu berlaku bukan akibat kemalangan di tapak pembinaan, sebaliknya berpunca daripada treler yang melanggar perancah besi pembinaan SUKE di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Runtuhan ini berlaku apabila treler itu melanggar struktur sementara pembinaan SUKE, menyebabkan rusuk keluli bersama perancah besi terjatuh di dua-dua laluan MRR2.

“Kejadian ini bukan membabitkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, ia tidak berpunca daripada kegagalan struktur atau kesalahan reka bentuk dan sebagainya, sebaliknya ia diklasifikasi sebagai kemalangan jalan raya.

“Jadi, ia disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan yang diketuai polis, dan bukan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. JKKP turut jalankan siasatan, namun ia di luar bidang kuasa kami,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dalam insiden itu, dua wanita pekerja kilang meninggal dunia dalam nahas di MRR2 petang semalam, manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van, terselamat namun mengalami kecederaan.

Ia susulan runtuhan perancah besi dan rusuk keluli itu menghempap sebuah van kilang yang melalui lokasi terbabit, ketika sebuah treler melanggar struktur sementara pembinaan SUKE.

Husdin berkata, runtuhan itu berlaku apabila muatan tinggi dibawa treler berkenaan melanggar struktur sementara pembinaan yang membentuk jejambat.

“‘Flyover’ (jejambat) itu rendah, manakala muatan yang dibawa treler itu agak tinggi. Apabila berlanggar, struktur itu runtuh dan menghempap van pekerja kilang yang kebetulan lalu di situ ketika nahas berlaku,” katanya. -BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373