Perang Gaza: Protes pelajar Eropah kian merebak, lebih ramai ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

AMSTERDAM: Protes pelajar yang menuntut universiti memutuskan hubungan dengan Israel susulan perang Gaza merebak di seluruh Eropah barat semalam, sekali gus mencetuskan pergaduhan dengan puluhan individu ditahan.

Pelajar pelbagai universiti Eropah meneruskan demonstrasi yang dicetuskan di kebanyakan kampus di Amerika Syarikat (AS).

Mereka melakukan bantahan di dewan dan kemudahan universiti bagi menuntut kerjasama dengan institusi Israel ditamatkan berikutan serangan berterusan ke atas Gaza.

Ratusan penunjuk perasaan meneruskan demonstrasi di sekitar kampus Universiti Amsterdam, yang mana polis pada malam sebelumnya dirakam menggunakan belantan terhadap penunjuk perasaan dan bertindak memusnahkan khemah mereka berikutan keengganan meninggalkan kawasan terbabit.

Ketika protes diteruskan malam tadi, penunjuk perasaan mendirikan benteng untuk akses masuk ke laluan yang diawasi sekumpulan anggota polis.

Pihak polis dalam satu kenyataan berkata, seramai 169 orang ditahan dalam protes yang diadakan malam kelmarin.

Semua mereka sudah dibebaskan, kecuali dua individu masih ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan kekacauan awam.

Keganasan meletus seketika pada Isnin apabila sekumpulan kecil penunjuk perasaan menggunakan suar dalam demonstrasi yang dijalankan.

Menurut agensi berita tempatan, ANP, semalam, kira-kira 50 penunjuk perasaan turut melakukan bantahan di luar perpustakaan di Universiti Utrecht dan puluhan lagi pelajar menganjurkan demonstrasi di Universiti Teknikal Delft.

Di bandar Leipzig dekat timur Jerman, sebuah universiti mengeluarkan kenyataan bahawa 50 hingga 60 orang pelajarnya membuat protes di dewan kuliah semalam sambil mengibarkan sepanduk bertulis ‘warga universiti menentang pembunuhan beramai-ramai’.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373