Peraturan baharu diwartakan, tertakluk fasa PPN

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 mula diwartakan, semalam.

Peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 itu mengandungi peraturan yang terpakai di semua kawasan tempatan jangkitan tertakluk kepada mana-mana fasa yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa serta disiarkan di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia antara lain menyatakan mengenai kebenaran beroperasi bagi perkhidmatan perlu dan kawalan pergerakan mengikut fasa yang ditetapkan di sesuatu kawasan.

Di bawah peraturan yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba itu juga, majikan dikehendaki memastikan pekerja asingnya menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mencegah penularan virus itu, dengan fi, kos atau caj ujian itu perlu ditanggung majikan.

Selain itu, di bawah peraturan mengenai peruntukan khas berhubung kawalan pergerakan di Sabah dan Sarawak, apa saja peruntukan yang ditetapkan di bawah peraturan itu bagi mengawal penularan COVID-19 di negeri berkenaan hendaklah seperti yang diarahkan Ketua Pengarah Kesihatan.

Peraturan itu juga menyatakan mengenai peraturan berkaitan larangan pergerakan ke tempat yang tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), pergerakan kerana sebab khas atau tertentu, aktiviti yang dilarang, larangan berarak, kawalan berhimpun, penggunaan pengangkutan awam dan keperluan menjalani pemeriksaan kesihatan apabila tiba di Malaysia.

Mengikut peraturan itu, mana-mana orang atau syarikat yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan itu atau syarat Ketua Pengarah Kesihahatan atau pegawai yang diberi kuasa boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

PPN menetapkan empat fasa, yang mana peralihan fasa dibuat berdasarkan pencapaian nilai ambang negeri bagi indikator yang ditetapkan iaitu jumlah kes harian baharu, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373