Perawakan menarik, berbudi bahasa, ciri calon pilihan PH PRK Tanjung Piai

Estimate Reading Time: < 1 minute

PONTIAN- Perawakan yang menarik, berbudi bahasa seperti Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik adalah ciri-ciri yang dilihat dalam mencari calon Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Salahuddin Ayub berkata ketika pertemuan dengan ketua-ketua kampung di kawasan Tanjung Piai semalam, rata-rata ketua kampung masih terkenangkan kebaikan ahli parlimen itu yang sentiasa membantu mereka tanpa mengenal waktu.

“Ketika pertemuan petang ini, orang kampung masih tergambarkan Allahyarham, mengenangkan kebaikan, sifat gentleman beliau (Dr Md Farid) yang bekerja tidak menentu masa.

“Sebelum meninggalpun malam sebelumnya, dia masih menerima ketua-ketua kampung dan bertemu mereka. Ini contoh orang muda yang mempunyai perawakan yang menarik, gentleman, baik budi bahasa.

“Saya rasa itu contoh ciri-ciri calon yang mungkin dipertimbangkan untuk menggantikan beliau,” kata beliau ketika ditemui di pejabat Majlis Daerah Pontian, semalam.

Menurut Salahuddin, itulah petunjuk prestasi utama (KPI) yang mungkin akan dipertimbangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk kami pertimbangkan sebagai calon terbaik Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Terdahulu Salahuddin, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu bersama Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, mengadakan pertemuan tertutup dengan 45 ketua kampung di kawasan parlimen Tanjung Piai.

Pertemuan lebih sejam itu turut membincangkan isu yang dihadapi masyarakat kampung sekitar itu selain mengenal pasti projek-projek yang telah dijanjikan oleh Dr Md Farid sebelum kematiannya.

“Kami minta supaya semua ketua-ketua kampung mengemukakan dokumen, sama ada surat-syurat permohonan ataupun janji-janji yang beliau telah kemukakan dan pihak kami, insya-Allah akan melaksanakan semua yang telah dijanjikan untuk rakyat dalam tempoh yang terdekat,” kata beliau.

Menurut Salahuddin, sebarang keperluan mendesak akan didahulukan menggunakan peruntukan sama ada dari pejabat Menteri Besar ataupun dari kementeriannya.

“Bajet yang ada (di bawah kementerian) kami boleh gunakan seperti contoh program rezeki ternak, rezeki padi dan tambah baik pulih akses jalan ke kebun-kebun,” tambah beliau.- Bernama

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373